Thursday, October 13, 2011

TUN DR MAHATHIR ~ PAKATAN RAKYAT MUNGKIN TIDAK BUBAR DUN SERENTAK DGN PARLIMEN

mahathir meets bloggers 150807 mahathirKerajaan Pakatan Rakyat di empat negeri berkemungkinan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan itu berkemungkinan merupakan strategi Pakatan untuk menumpukan kekuatan dan meraih sokongan rakyat di negeri-negeri pemerintahan BN.

Pakatan menerajui pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

"Dengan ini, mereka (Pakatan) dalam tangan ada empat buah negeri. Mereka tumpu di negeri-negeri lain untuk menambah kekuatan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur Larian Sahara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.

"Bagi pilihan raya di peringkat DUN, ia bergantung kepada kerajaan negeri sama ada bubar atau tidak dewannya. Kalau keempat-empat DUN di bawah pemerintahan Pakatan tidak dibubar, kita akan lihat pilihan raya terhad kepada negeri-negeri yang diperintah BN," katanya.

"Namun begitu, sekiranya pilihan raya umum diadakan dekat dengan tamat tempoh penggal lima tahun, nak tak nak, dia (Pakatan) kena buat (membubarkan DUN) juga," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan BN tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya umum  ke-13 kerana tempoh penggal hanya berakhir pada Mac 2013.

Katanya kerajaan BN perlu membuat ujian dan kaji selidiki untuk mengetahui pandangan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan dan rakyat akan menunggu dengan apa yang dijanjikan oleh kerajaan.

"Jangan-jangan yang dijanji tidak ditunaikan. Kalau cakap tidak serupa bikin, susah. Jadi, cakap seperti apa yang akan dibikinkan," katanya.

Mengenai Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, Jumaat lalu, katanya kerajaan BN harus memastikan semua projek dilaksanakan dengan jayanya kerana rakyat akan menilai hasil dan usaha kerajaan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment