Wednesday, December 22, 2010

MALAYSIA KINI PUNYAI 27,565,821 PENDUDUK !

PUTRAJAYA 22 DIS : Malaysia kini mempunyai 27,565,821 penduduk, dengan lelaki melebihi wanita pada nisbah 105:100, demikian menurut laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Penduduk lelaki kini adalah 14,112,667 orang dan wanita 13,453,154 orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan laporan itu pada sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.
Beliau berkata purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan dalam tempoh 2000 hingga 2010 ialah 2.17 peratus, menurun berbanding 2.60 peratus dari 1991 hingga 2000.
Semasa tempoh bancian dari 6 Julai hingga 22 Ogos lepas, terdapat 6,396,174 isi rumah dan 7,380,865 tempat kediaman di seluruh negara.
Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna bagi merancang dan melaksanakan dasar pembangunn negara. Banci sebelum ini dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.-BERNAMA

Friday, December 17, 2010

PRK TENANG ADALAH YG KE 14, AKAN DIADAKAN DALAM BULAN JANUARI 2011

Satu lagi pilihan raya kecil dijangka akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Ini adalah pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008.
Dijangkakan, pilihan raya kecil berkenaan akan diadakan pada bulan Januari sebelum sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 3 Februari.
Pakatan Rakyat memenangi lapan daripada 13 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini. Ini merupakan kali pertama pilihan raya kecil diadakan di Johor yang dilihat sebagai kubu kuat BN selepas pilihan raya umum 2008.
BN menguasai sebanyak 50 kerusi DUN Johor manakala di DAP dan PAS masing-masing menguasai empat dan dua kerusi.
Kawasan DUN Tenang merupakah salah satu kubu kuat Umno di negeri itu.
Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.
Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu, lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India.

Thursday, December 16, 2010

Zaid Ibrahim kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA)

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dilantik sebagai Ketua Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang kini ditukar namanya kepada parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).
Pelantikan itu dilakukan hampir 150 perwakilan pada Muktamar Agung Tahunan 2010 parti tersebut di Tropicana Golf & Country Resort di sini hari ini.
Menurut Zaid, parti dipimpinnya itu diharap mampu menjadi parti nasional penting yang menentukan hala tuju politik negara berbanding hanya aktif di Kelantan.
"Disebabkan itu, kami meminda beberapa perkara termasuk perlembagaan parti selain namanya bagi membolehkan ia menjadi parti berbilang kaum.
"AKIM merupakan parti serpihan Pas dan disebabkan itu hanya orang Islam yang boleh menyertainya. Tetapi kini KITA akan jadi parti semua kaum kerana kami rasakan itu adalah cara untuk kami maju," katanya pada sidang akhbar selepas muktamar itu.
AKIM ditubuhkan pada 1994 oleh bekas Ketua Pas Bahagian Pasir Puteh, Musa Salih.
Sebelum ini parti itu dipimpin presidennya, Zakaria Salleh yang melepaskan jawatan tersebut 30 November lalu bagi memberi laluan kepada Zaid.
Pindaan terhadap parti yang memiliki keahlian berjumlah 284 orang itu termasuk perubahan pada lambang serta struktur parti berkenaan selain jawatan Presiden KITA kini dikenali sebagai Ketua Parti.
Tiada jawatan timbalan presiden atau naib presiden tetapi terdapat jawatan pengerusi parti diwujudkan yang bertindak sebagai penasihat parti serta ahli jawatankuasa pusat yang mempunyai kuasa melantik Ketua Parti.
Zaid menambah, beliau memilih untuk menyertai parti itu berbanding menubuhkan parti baru seperti digembar-gemburkan sebelum ini kerana penubuhan parti baru mengambil masa yang panjang.
"Lagi pun, kami sependapat dan secocok dalam banyak perkara," katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan partinya tidak akan menyertai mana-mana pakatan sama ada pembangkang atau kerajaan.
Tegasnya, mereka akan menjadi parti neutral yang hanya menyokong isu-isu yang dirasakan benar dan menepati kepentingan rakyat.
"Tetapi itu tidak bermakna kita hanya ditubuhkan untuk bersaing. Kami bukan mahu bersaing tetapi mahu membuat kawan," katanya.
Beliau turut memberitahu, akan mengumpulkan ahli KITA dari seluruh negara pada 19 Januari depan untuk memberi penjelasan sepenuhnya mengenai parti itu.
"Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak serta ahli yang baru menyertai KITA akan turut serta. Cumanya tempat berkumpul akan saya beritahu kemudian.
"Di sana kita akan memperincikan segalanya daripada persoalan siapa memegang jawatan hingga strategi kita untuk menjadi parti yang penting dalam masa singkat," katanya.



Pendedahan WikiLeaks: Percaya Juga Pendedahan Mengenai Najib + Altantuya..!!!

SETIUSAHA Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail meminta orang ramai memahami keadah operasi ataupun fungsi laman web bebas WikiLeaks sebelum terus menerima pakai setiap apa yang didedahkah oleh laman berkenaan. Katanya menerusi kenyataan akhbar yang disebarkan kepada umum malam tadi, WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai.
Jelasnya, orang ramai bebas untuk menghantarkan apa-apa jenis maklumat, jadi ada maklumat datang dari kajian terperinchi dan ada juga hanya rakaman perbualan di antara ahli-ahli diplomatik.
Mengenai pendedahan maklumat mengenai Malaysia katanya adalah maklumat yang dipetik dari komen-komen pengunjung blog berkenaan.
Misalnya laporan yang dipetik oleh akhbar The Sydney Morning Herald termasuk mengenai penglibatan Anwar Ibrahim dalam kes sodomi adalah dipetik dari komen-komen umum di blog berkenaan.
"Laporan The Sydney Morning Herald ditulis berdasarkan catatan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau di dalam Asean, Jepun, China dan India," katanya.
Untuk memahami aktiviti laman berkenaan dengan lebih dekat lagi bahawa catatan itu adalah pandangan peribadi yang disensasikan, beliau meminta orang ramai meneliti secara keseluruhan maklumat-maklumat lain yang didedahkan oleh WikiLeaks yang terkandung dalam kabel yang sama merakam percakaan peribadi pegawai-pegawai diplomatik Singapura dan tidak kepada isu Anwar semata-mata.
Beliau memberi contoh bagaimana kenyataan atau percakapan Bilahari Kausikan pada satu mesyuarat September 2008 telah memberi tahu Timbalan Setiausaha AS, David Sedney bahawa; "ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia" yang akan menyebabkan orang Cina akan meninggalkan Malaysia dan menyusahkan Singapura.
Mengenai kepimpinan Barisan Nasional pula, kata Bilhari masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa, Najib perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa.
Hurai Saifuddin lagi, selain itu percakapan itu juga secara jelas mengaitkan penglibatan Najib dalam skandal pembunuhan perempuan Mongolia, Altantuya Sharibu, dan berpendapat Najib Razak terancam diebabkan kes pembunuhan itu.
Selain itu menurut Saifuddin juga menurunkan contoh satu lagi rakaman menerusi kebal diplomatik mengenai bagaimana Peter Ho pada Mac 2008 telah mengutuk Dr Mahathir Mohamad sebagai melempar batu sembunyi tangan kepada penggantinya, Abdullah Badawi.
Justeru kata Saifuddin kebal sulit yang mengandungi pandangan peribadi Lee Kuan Yew dan perisikan Singapura mengenai fitnah terhadap Anwar Ibrahim peru dilihat di dalam konteks yang sama dan sebetulnya dengan komen-komen peribadi yang menghina semua pihak di Malaysia.
Tegas Saifuffin mengambil pendirian pandangan tersebut - termasuk pendedahan mengenai Anwar yang didedahkan adalah pandangan peribadi individu-individu tersebut yang tidak disokong oleh fakta.
Untuk berlaku adil kepada semua pihak, tegas Ahli Parlimen Machang itu, komen-komen itu perlu dianggap sebagai cakap-cakap kosong dan pendapat peribadi mereka, jika tidak perdana menteri, Najib Razak sendiri yang kena berhempas pulas untuk menjawab dakwaan demi dakwaan yang terkandung dalam kabel sulit yang sama yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya Sharibu," jelasnya.

Wednesday, December 8, 2010

KEDAULATAN MELAYU LEBIH SESUAI DARI KETUANAN MELAYU - SULTAN JOHOR

JOHOR BAHARU: Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut "kedaulatan Melayu" kerana ia mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara "tuan" dan "hamba", titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
"Ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu," titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di sini hari ini.
Menurut baginda apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.
Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya, titah baginda.
"Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu. Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah baginda membangkitkan soal mengenai ketuanan Melayu memandangkan masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan dan menyalahtafsir maksudnya yang sebenar.
Baginda mengingatkan orang Melayu supaya bermusahabah diri dan mempertahankan ketuanan Melayu memandangkan ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
"Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan kepada orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah sistem raja dan kerajaan Melayu yang telah wujud ratusan tahun dahulu tidak pernah putus malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut baginda, konsep kedaulatan Melayu yang merangkumi kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu dan hak-hak lain juga tidak pernah melihat orang lain sebagai orang luar di negara ini.
Baginda meminta golongan ulama memainkan peranan menjelaskan dan mempertahankan ketuanan Melayu selain menegakkan hukum-hukum syarak.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengamalkan ajaran Islam mengikut Mazhab Syafie bagi mengelak perpecahan.
Bagi mengatasi masalah yang timbul berkaitan akidah, ibadah dan fahaman Islam, baginda mencadangkan kerajaan Johor mewujudkan kumpulan pemikir Islam yang dianggotai pakar termasuk ulama, ahli perundangan dan sasterawan bagi membincangkan masalah berkaitan masyarakat Islam dan penyelesaiannya.
Baginda turut meminta ulama menyebarkan ilmu dan pengetahuan melalui penulisan sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam seperti Imam Al-Ghazali dan Imam Syafie.
Sultan Ibrahim juga mengesyorkan pengwujudan pusat pemurnian akidah serta pusat kajian, penyelidikan, pengembangan dan penyebaran Mazhab Syafie.