Thursday, December 16, 2010

Zaid Ibrahim kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA)

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dilantik sebagai Ketua Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang kini ditukar namanya kepada parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).
Pelantikan itu dilakukan hampir 150 perwakilan pada Muktamar Agung Tahunan 2010 parti tersebut di Tropicana Golf & Country Resort di sini hari ini.
Menurut Zaid, parti dipimpinnya itu diharap mampu menjadi parti nasional penting yang menentukan hala tuju politik negara berbanding hanya aktif di Kelantan.
"Disebabkan itu, kami meminda beberapa perkara termasuk perlembagaan parti selain namanya bagi membolehkan ia menjadi parti berbilang kaum.
"AKIM merupakan parti serpihan Pas dan disebabkan itu hanya orang Islam yang boleh menyertainya. Tetapi kini KITA akan jadi parti semua kaum kerana kami rasakan itu adalah cara untuk kami maju," katanya pada sidang akhbar selepas muktamar itu.
AKIM ditubuhkan pada 1994 oleh bekas Ketua Pas Bahagian Pasir Puteh, Musa Salih.
Sebelum ini parti itu dipimpin presidennya, Zakaria Salleh yang melepaskan jawatan tersebut 30 November lalu bagi memberi laluan kepada Zaid.
Pindaan terhadap parti yang memiliki keahlian berjumlah 284 orang itu termasuk perubahan pada lambang serta struktur parti berkenaan selain jawatan Presiden KITA kini dikenali sebagai Ketua Parti.
Tiada jawatan timbalan presiden atau naib presiden tetapi terdapat jawatan pengerusi parti diwujudkan yang bertindak sebagai penasihat parti serta ahli jawatankuasa pusat yang mempunyai kuasa melantik Ketua Parti.
Zaid menambah, beliau memilih untuk menyertai parti itu berbanding menubuhkan parti baru seperti digembar-gemburkan sebelum ini kerana penubuhan parti baru mengambil masa yang panjang.
"Lagi pun, kami sependapat dan secocok dalam banyak perkara," katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan partinya tidak akan menyertai mana-mana pakatan sama ada pembangkang atau kerajaan.
Tegasnya, mereka akan menjadi parti neutral yang hanya menyokong isu-isu yang dirasakan benar dan menepati kepentingan rakyat.
"Tetapi itu tidak bermakna kita hanya ditubuhkan untuk bersaing. Kami bukan mahu bersaing tetapi mahu membuat kawan," katanya.
Beliau turut memberitahu, akan mengumpulkan ahli KITA dari seluruh negara pada 19 Januari depan untuk memberi penjelasan sepenuhnya mengenai parti itu.
"Rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak serta ahli yang baru menyertai KITA akan turut serta. Cumanya tempat berkumpul akan saya beritahu kemudian.
"Di sana kita akan memperincikan segalanya daripada persoalan siapa memegang jawatan hingga strategi kita untuk menjadi parti yang penting dalam masa singkat," katanya.



No comments:

Post a Comment