Hah, Tok Guru Nik Aziz sebut dia nak berdoa saja, satu Malaysia sudah gegar. Digegarkan oleh media-media Umno/BN. Heboh satu Malaysia macam nak berlaku gempa bumi, hinggakan Tan Sri mufti dan Datuk bekas mufti pun berfatwalah, seperti yang dijangka dari ulamak-ulamak Umno/BN itu.
Kah kah kah… lucunya Malaysia kita. Tapi sebenarnya tak lucu. Sikit pun tak lucu, kalau kita melihatnya dari satu perspektif yang saya maksudkan ini. Bahkan hebat sebenarnya! Apabila doa seorang manusia boleh menggegarkan sebuah negara. Saya melihatnya dari sudut ini. Dan ini sebenarnya cukup menarik. Dan istimewa!
Adakah lagi di negara-negara lain dalam dunia ini yang seperti ini? Yang doa seorang pemimpin pembangkangnya begitu diberi perhatian, oleh media-media utama, dan boleh sampai menghebohkan suasana seluruh negara. Doa sahaja, bukannya apa! Hanya doa.
TG Nik Aziz (dilaporkan) berkata dia nak berdoa supaya Allah musnahkan masa depan Perdana Menteri dan partinya, sekiranya Datuk Najib tetap enggan memberikan hak royalti petroleum dan gas kepada kerajaan negeri Kelantan, seperti yang sepatutnya.
Ia bukan sahaja menjadi berita utama media-media arus perdana, tetapi ia juga menjadi satu isu yang besar, yang perlu dicari ‘fatwa’ dari mufti-mufti dan bekas mufti; dan para menteri pun terpaksa membuat kenyataan. Memanglah kenyataan mereka itu mengecam dan merendah-rendahkan TG Nik Aziz.
Tetapi itu semua menunjukkan apa? Itu semua menunjukkan mereka percaya kepada doa TG Nik Aziz Menteri Besar Kelantan itu. Mereka percaya bahawa doa TG Nik Aziz itu boleh memberi kesan. Kalau tidak, mereka takkan melatah melenting heboh satu negara.
Datuk Najib yang sedang berada di luar negara, di Port of Spain, pun terpaksa memberi respon kepada kenyataan Tok Guru itu. Mereka bimbang kepada doa Tok Guru. Tapi hal itu pula menggembirakan saya.
Sebab apa saya gembira? Sebab saya melihat TG Nik Aziz sekali lagi berjaya menonjolkan satu daripada aspek keimanan/ketaqwaan (agama Islam) yang menjadi sebahagian daripada dasar pentadbirannya, (yang selama ini kurang disedari dan difahami oleh orang ramai, khasnya yang di luar parti PAS).
Pimpinan Umno/BN memang boleh saja mengatakan bahawa doa TG Nik Aziz itu gagal memberi kemenangan kepada PAS dalam pilihanraya kecil (PRK) Bagan Pinang baru-baru ini; manakala dalam PRK Manek Urai sebelum itu PAS hanya menang dengan majoriti kecil.
Mereka cuba hendak mengatakan bahawa doa TG Nik Aziz itu tidak akan dimakbul oleh Tuhan. Maka ‘fatwa’ mufti pun dikeluarkan untuk mengesahkan kenyataan mereka itu, dengan alasan kononnya tindakan Nik Aziz itu tidak selaras dengan ajaran Islam.
Nik Aziz pula menegaskan bahawa dia bersedia untuk berdialog dengan sesiapa saja ulamak yang tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Bagus.
Kalaulah ada ulamak berkenaan yang mahu menyambut cabaran TG Nik Aziz itu, alangkah bagusnya. Biarlah kita jangan berselindung dengan ilmu dan ajaran Islam yang sebenar, ‘kan! Bagi mereka yang mengikuti perkembangan pentadbiran TG Nik Aziz selama 19 tahun mentadbir Kelantan, perkara ini bukanlah satu perkara baru.
Ini memang satu daripada pendekatan yang biasa dilakukan oleh TG Nik Aziz, khasnya apabila dia berhadapan dengan masalah atau krisis yang besar dan rumit, yang melibatkan rakyat negeri Kelantan dalam keadaan dizalimi atau dianiaya. Satu daripada peristiwa atau krisis besar yang pernah diatasi dengan cara atau strategi “berdoa”, dan berjaya, ialah krisis pampasan empangan janakuasa Pergau, yang melibatkan syarikat Tenaga Nasional Berhad di pihak kerajaan pusat.
Selain daripada berdoa, pendekatan tersebut selalunya akan menghimpunkan rakyat dalam jumlah yang ramai, hingga memenuhi Stadium Sultan Muhamad, Kota Bharu, misalnya, untuk melakukan solat hajat. Dan pernah solat hajat beramai-ramai itu dibuat di waktu dinihari jam 4.30 pagi. Berdoa dan solat hajat memang sudah menjadi sebahagian penting dalam program dan pendekatan pentadbiran yang digunapakai oleh TG Nik Aziz. Yang terakhir sebelum ini ialah pada 1 Ramadhan lalu, di pekarangan Stadium (Qaryah Ramadhan), kerana memohon Allah SWT agar menyelamatkan rakyat daripada wabak H1N1.
Kebetulan saya pun sempat hadir dalam majlis yang diadakan sejurus sebelum sahur itu. Sekarang rakyat Kelantan sedang dizalimi oleh kerajaan pimpinan Najib, yang enggan memberikan apa yang menjadi hak mereka dalam royalti minyak.
Tentunya mereka hanya menanti Tok Guru menyebutkan tarikhnya sahaja, dan mereka akan berkumpul barangkali yang paling ramai dalam sejarah solat hajat di Kelantan. Sama-samalah kita tunggu! Memang ini sesuatu yang sangat menarik.
Bagaimana sebuah pimpinan politik boleh mengajak rakyatnya beramai-ramai; “Mari kita pergi kepada Allah, dan kita mengadu kepada Dia yang kita telah dizalimi, dan kita minta tolong kepada Allah, kerana hanya Dia yang boleh menolong kita, kerana Dia maha berkuasa.” Saya tidak tahu apakah perkara yang seperti ini ada juga dilakukan di tempat lain di mana-mana dalam dunia ini. Sebuah kerajaan yang mengamalkan satu sistem pentadbiran yang di dalamnya terdapat suatu program yang berkomunikasi langsung dengan Tuhan yang ghaib.
Program ini juga boleh dijadikan satu strategi untuk menghadapi pihak “lawan” yang cuba berbuat zalim kepada rakyatnya. Dan dalam sejarah amalan strategi solat hajat dan doa ini pun, barangkali inilah kali pertama TG Nik Aziz akan berdoa supaya Allah melaknat atau memusnahkan masa depan seorang Perdana Menteri Malaysia, bersama dengan partinya.
Maka sangat menariklah jadinya untuk kita mengikuti perkembangan “perang cara ghaib” ini yang selanjutnya. Bagaimanakah pihak Perdana Menteri Najib dan panglima-panglimanya akan menghadapi strategi dan taktik perang yang entah kuno entah moden entah “avant-garde” ini. Syabas Tok Guru! (Memang patutlah Zaid Ibrahim cadangkan Tok Guru jadi Pengerusi Pakatan Rakyat.)