Monday, September 28, 2009

Malam esok - Pengumuman Calon Bagan Pinang

MAJLIS PENGUMUMAN CALON PAKATAN RAKYAT BAGI PILIHAN RAYA N31 BAGAN PINANG Presiden PAS, YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang bersama barisan pimpinan Pakatan Rakyat akan mengumumkan calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang pada:

Tarikh: 29 September 2009 (Selasa) Masa: 9.00 malam Tempat: Markas PAS, Batu 9, Jalan Pantai, Telok Kemang, Port Dickson.

Wednesday, September 9, 2009

Artis Wanita bantu bawa pulang jenazah Nenek Mariam (Korea)

KOTA TINGGI: Seorang artis wanita terkenal menyumbang RM11,000 untuk membiayai kos membawa pulang jenazah Mariam Johari, 88, bagi membolehkan wanita warga Malaysia yang terkandas di Korea Selatan sejak 64 tahun lalu itu, dikebumikan secara Islam.Artis itu yang enggan namanya disiarkan akan menyerahkan bantuan berkenaan kepada Wisma Putra di Putrajaya, hari ini.Seorang pegawai Bahagian Konsulat, Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah berurusan dengan artis itu dan menerima surat daripada anak lelaki Mariam, Jelani Sonni, 72, yang meminta jenazah ibunya dibawa pulang secepat mungkin sebelum dibakar mengikut adat masyarakat Korea.“Konsulat Malaysia akan berurusan dengan kerajaan Korea bagi mendapatkan kebenaran membawa pulang jenazah Mariam kerana Allahyarham sudah menjadi warga negara itu. Kita juga akan meneliti kandungan wasiat yang dikatakan ditinggalkan Mariam sebelum meninggal dunia. Sejurus mendapat kelulusan, jenazah Mariam akan dibawa pulang,” katanya.Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae yang dikatakan tidak sihat sejak empat bulan lalu, meninggal dunia ketika tidur di sebuah rumah kebajikan di Seoul, kira-kira jam 12.20 malam Sabtu lalu (waktu Malaysia).Jelani yang menerima berita kematian ibunya, pagi kelmarin, bagaimanapun terkilan kerana Mariam dikatakan meninggalkan wasiat supaya dikebumikan mengikut adat masyarakat Korea.Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila akhbar Kumpulan The New Straits Times (NSTP) menyiarkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor, dua tahun lalu.Dengan bantuan Korea Broadcasting System (KBS), Mariam yang terkandas di Korea selepas dibawa tentera Jepun ke negara itu ketika Perang Dunia Kedua, akhirnya dipertemukan dengan tiga anaknya, Ramlah, 74, Jelani dan Jamnah, 67, di Seoul pada Julai 2007.Mariam juga dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan, kira-kira dua minggu selepas itu.Sementara itu, Jelani yang berniaga di Pasar Ramadan Perhentian Bas Taman Kota Jaya di sini, yakin jenazah ibunya dapat dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam di sini.Beliau berkata, ramai ahli keluarganya dikebumikan di tanah perkuburan itu dan terletak berdekatan rumahnya serta Ramlah dan Jamnah.“Kami memang nak dia (Mariam) dibawa balik ke sini (Kota Tinggi). Apa pun orang kata, dalam hati kami mak masih Islam. Apabila dia pulang ke sini dua tahun lalu dan mengucap, dia memang ingat agama dia. Bila difikir-fikir, saya sendiri belum tengok surat wasiat emak, hanya dimaklumkan mengenai wasiat itu menerusi anak saudara saya, Ahmad Onn. Sekiranya benar ada surat wasiat daripadanya, saya mahu tengok,” katanya.Penyelidik KBS, Seo Kyu Won, yang dihubungi pula berkata, rakannya, Park Keon Young sering mengunjungi Mariam termasuk ketika wanita itu dalam keadaan tenat.“Mariam sakit sejak Mei lalu tetapi kembali sihat. Namun sejak dua bulan lalu, Mariam tenat semula dan cuba menghubungi keluarganya di Malaysia. Mariam mahu pulang melihat anak-anaknya… beliau asyik menyebut nama Ramlah, Jelani, dan Jamnah. Mungkin ketika itu Mariam sudah tahu dia akan pergi. Malah, Mariam pernah berkata ‘Saya mahu pulang ke Malaysia kerana saya dilahirkan di negara itu, ini impian saya’,” katanya.Seo berkata, anak tiri Mariam, Ji Yong Un, 53, tidak membantah sekiranya jenazah Mariam dibawa pulang ke Malaysia.Ketika ini, jenazah Mariam masih disimpan di rumah kebajikan Gereja Roman Katholik Beon Bong dengan namanya diletakkan sebagai ‘Mariam Binti Johari’ dan di bawah jagaan keluarga Ji.Bagaimanapun, keluarga Ji perlu dimaklumkan mengenai urusan membawa balik jenazah sebelum 1 tengah hari waktu Korea (12 tengah hari waktu Malaysia) hari ini kerana sekiranya gagal, jenazah wanita itu akan dibakar mengikut adat masyarakat Korea.

Saturday, September 5, 2009

Cadangan Pemindahan Kuil Hindu Di Seksyan 19 Di Bekukan

SHAH ALAM, 5, Ogos- Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan bahawa cadangan memindahkan Kuil Hindu di Seksyen 19, ke Seksyen 23 dibekukan sementara, ekoran bantahan keras daripada penduduk.
Khalid berkata, kontroversi yang tercetus daripada rancangan pemindahan kuil tersebut akan ditangguhkan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.
“Kerajaan negeri sangat prihatin tentang perkara ini, kita merasakan kita terpaksa melihat semula cadangan tersebut, saya telah meminta masyarakat di seksyen 23 supaya mereka tidak lagi membincangkan perkara ini kerajaan negeri akan melihat bagaimana usaha2 ini dapat diteruskan,” katanya.
Tan Sri Khalid berkata demikian kepada media di kediaman rasminya selepas Majlis Dialog bersama penduduk Seksyen 23 berhubung isu pemindahan kuil tersebut di Dewan Bankuet MBSA, pagi tadi.
Katanya, Kerajaan Negeri prihatin terhadap keinginan masyarakat India yang inginkan kuil itu dibina dan akan berusaha untuk mencari tapak alternatif yang sesuai.
“Kita akan berbincang dengan PKNS supaya dapat mengenalpasti satu lagi tempat yang sesuai yang boleh diterima oleh Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan boleh diterima oleh penduduk di persekitaran Seksyen tersebut,“ini akan kita lakukan seberapa segera sebab kita rasa masalah pemindahan kuil ini mesti diselesaikan kalau tidak ini boleh menjadi perkara-perkara yang menjadi isu antara penduduk,” katanya.
Beliau berkata, hasrat memindahkan kuil berkenaan akan diteruskan, tetapi ditangguhkan buat masa ini sambil berharap penduduk tidak menimbulkan ketegangan lagi.
Katanya, ekoran bantahan penduduk dalam sesi dialog pagi tadi, kerajaan negeri terpaksa menilai semula cadangan memindahkan kuil Sri Mariaman itu ke Sekyen 23.
“Kita faham, perkara yang melibatkan agama merupakan isu sensitif. Tetapi kita tidak akan menyapunya ke bawah permaidani (mengelak daripada menyelesaikannya),” katanya.
Sambil menegaskan beliau tidak kecewa dengan insiden ini, Tan Sri Khalid berkata, bantahan itu telah dijangka, berdasarkan tunjuk perasaan yang dibuat oleh penduduk setempat sebelum ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan insiden yang berlaku pagi tadi berpunca daripada salah faham ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat, sedangkan perkara itu masih di peringkat cadangan.
“Saya tengok daripada perbincangan yang telah diadakan tadi ada miss information, telah dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu, mereka yang datang sudah menganggap pembinaan telah dilakukan, ini memberi gambaran bahawa kita buat tanpa berbincang dengan penduduk, sekiranya mereka mendapat maklumat yang tepat ia tidak akan berlaku,” jelasnya.
Beliau turut menyeru media agar menyampaikan maklumat dengan tepat dan tidak mencetuskan perbalahan dan salah faham penduduk.
Bagaimanapun, Khalid meminta perkara itu tidak dipanjangkan kerana ia telah diselesaikan dengan mencari tapak lain sebagai alternatif.

Friday, September 4, 2009

Kenapa bendera menjadi Mangsanya Dong !


Mari kita lihat sebahagian daripada senario hubungan terkini di antara Malaysia dan Indonesia. Tarian Pendet ditayangkan Discovery Channel menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia. Negara kita dituduh mencuri ‘budaya’ mereka. Sedangkan menurut pengacara program televisyen bual bicara dan penganalisis politik Indonesia, Wimar Witoelar, warga Perancis dan India tidak pernah mengganggu atau menuduh Indonesia mencuri budaya mereka apabila produksi ballet Giselle dan Ramayana dipersembahkan di negara itu.

Apapun, berhubung kesilapan tayangan tarian Pendet, Malaysia pantas memohon maaf sekaligus memberhentikan tayangan klip promo itu. Setakat ini tindakan terbabit dilihat masih tidak diterima baik.

Wednesday, September 2, 2009

Persidangan Dun tetap dijalankan cuma di hotel..



Selepas gagal masuk ke bangunan sekretariat kerajaan negeri (SUK) pagi tadi, para ADUN Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di bilik ballroom Hotel Heritage di Ipoh.
Nama ADUN yang telah 'dipecat' atau telah 'meletak jawatan' seperti Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan tiga ADUN yang mengisytiharkan diri sebagai calon bebas, tidak diletak pada meja di situ.ADUN Pakatan duduk di sebelah kanan Speaker V Sivakumar (tempat ADUN parti pemerintah duduk).
Empat lagi ADUN Pakatan tidak kelihatan - tiga ditangkap pagi tadi dan seorang lagi sedang mengerjakan umrah.
Kemudian, dua usul diluluskan dan sidang itu sedang membahaskan usul ketiga.
Usul pertama diluluskan sebulat suara - yang mengesahkan laporan jawatankuasa hak dan kebebasan DUN mengenai:
1. (Speaker BN) Datuk R Ganesan, yang bukan seorang ADUN, yang masuk ke dewan DUN tanpa kebenaran speaker dan enggan keluar sewaktu sidang 7 Mei lalu, apabila diperintah berbuat demikian oleh speaker (Sivakumar).
2. (Bekas timbalan speaker) Hee Yit Fong, yang keluar DAP dan didakwa bertindak sebagai speaker, dan mempengerusikan sidang DUN (pada 7 Mei) dan menjalankan pengundian yang memilih Ganesan sebagai speaker.

Pemerintah 'double standard': Rodziah Ismail


SHAH ALAM – Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail mempersoalkan 'double standard' yang diamalkan pemerintah kerana kelihatan hanya menggunakan ISA ke atas pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa menimbulkan isu perkauman seperti mana dilalui Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok tahun lepas.
Bagaimanapun katanya, tiada tindakan dikenakan ke atas pimpinan atau penyokong Barisan Nasional (BN) yang menjurus kepada ketegangan perkauman seperti mana disaksikan dalam perarakan kepala lembu di depan Bangunan SUK pada Jumaat lalu. ”Ini jelas bahawa ISA digunakan oleh pihak pemerintah hanya untuk memburukkan imej pimpinan PR. Untuk menghalalkan penggunaan ISA, pimpinan PR dikaitkan pula dengan isu ketegangan perkauman.
”Maka saya tetap berpegang kepada pendirian bahawa ISA harus dimansuhkan kerana ISA telah memberi kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri sehingga bertindak secara selektif serta menafikan hak perbicaraan dan hak untuk membela diri seseorang,” katanya. Beliau berharap lipu-tan mengenai isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Sekysen 23 ini tidak teralih daripada masalah pokok, iaitu isu perancangan komuniti yang bakal diselesaikan dalam pertemuan dengan penduduk Seksyen 23 pada 5 September nanti.
Beliau juga bersedia untuk memberi penjelasan mengenai pendirian pemimpin PR berhubung isu ISA bagi mengelakkan kekeliruan.

SPR putuskan tidak ada kekosongan di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memutuskan tidak ada kekosongan di Dun Kota Seputeh, Kedah walaupun Speaker Dun Kedah memohon pilihan raya diadakan di kawasan itu.
"SPR juga memutuskan bahawa kerusi Adun Kota Siputeh masih disandang oleh Datuk Abu Hassan Sarif yang beliau menangi dalam pilihan raya umum ke-12 yang lepas," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.
Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail, menghantar surat kepada SPR memaklumkan kekosongan di kerusi itu berikutan kegagalan Adunnya, Dato' Abu Hassan Sharif menghadiri dua kali sidang Dun secara berturut-turut.
Mengikut peraturan dalam Dun Kedah, mana-mana Adun yang gagal menghadiri sidang Dun dua sessi berturut-turut tanpa kebenaran dari Speaker akan hilang kerusinya.
Dalam ulasan spontannya, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, keputusan ini membayangkan sikap sebenar badan yang dikatakan bebas itu.
"Peraturan ini bukannya baru dan dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tetapi peraturan yang telah sedia ada. Nampaknya SPR lebih senang menafikan peraturan ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.
Bagaimanapun, Salahudin tidak terkejut dengan keputusan ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin telah membayangkan tindakan yang perlu diambil oleh SPR sebelum ini.
Abu Hasan Sarif tidak pernah memaklumkan kepada Speaker DUN atau pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tentang ketidakhadiran beliau ke sidang DUN yang diadakan 9 Ogos lalu.
Abu Hassan sendiri tidak hadir pada Sidang Dewan pada 19 April sebelum itu bermakna dia tidak hadir dua kali bertutut-turut.
Menurut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir ke mesyuarat dewan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, maka kerusinya hendaklah dikosongkan.
Abdul Isa, Abu Hassan hanya memaklumkan perkara demikian kepada Ketua Pembangkang, Dato' Seri Mahdzir Khalid melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menurut Pengerusi SPR, pihaknya telah meminta nasihat dari Jabatan Peguam Negara sebelum membuat keputusan dalam mesyuarat mereka hari ini.
SPR memutuskan bahawa berdasarkan kepada takrif perkataan consecutive meetings, Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah dan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah bukanlah consecutive meetings dalam erti kata Perkara 51.
Sehubungan itu, adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa Abu Hassan tidak hadir dalam dua mesyuarat berturut-turut.
Abdul Aziz berkata, SPR berpendapat "ini adalah kerana mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN berkenaan bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan."
"Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut bagi dua penggal yang berbeza. Tempoh masa antara penggal persidangan pertama dan penggal persidangan kedua ialah selama tiga bulan 20 hari," katanya.
Kata Abdul Aziz lagi, setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, ia memutuskan bahawa mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan dalam erti kata Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman.
Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut untuk dua penggal yang berbeza, jelas beliau.
"Surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh diterima oleh SPR sebagai penjelasan mengenai ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat Dewan pada 9 Ogos 2009.
"SPR juga mendapati bahawa kegagalan ADUN Kota Siputeh itu menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal (selewat-lewatnya pada 9 Ogos 2009) tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal.
"SPR berpendapat bahawa sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. SPR memutuskan bahawa tiada berlaku apa-apa kekosongan pada kerusi Kota Siputeh," katanya.
Sementara itu, Speaker DUN, Abdul Isa akan membuat kenyataan esok mengenainya selepas meneliti alasan yang diberikan oleh SPR.