Monday, October 29, 2012

PR MAMPU BENTUK KERAJAAN PUSAT BARU ~ ANWAR


KUALA LUMPUR 29 Oktober: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Rakyat (Pakatan) mampu membentuk Kerajaan Pusat yang baru tanpa politik kotor dan rasuah.
Katanya, kemenangan berlandaskan politik matang dan bersih lebih signifikan berbanding budaya fitnah dan penindasan.
“Saya tidak datang untuk mencerca Najib (Razak), Rosmah (Mansor) dan Umno. Saya nak (Pakatan) menang dan rakyat bangkit menolak rasuah dan fitnah,” katanya di depan 400 penduduk di Warung Ibu Nasi Ambeng, Kg Sungai Gulang-Gulang, Permatang, Tanjung Karang pada Jelajah Merdeka Rakyat semalam.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Umno BN terus goyah dan banyak isu yang gagal dipertahan melainkan memburukkan Pakatan, meskipun mereka menguasai seluruh jentera kerajaan termasuk media.
Beliau mengingatkan rakyat jangan terkeliru dengan dakyah yang dimainkan media yang terus-menerus memutarbelitkan fakta sebenar.
“Sebab apa dia (Najib) takut? Dia punyai televisyen, jentera dan wang kerana dia ada rasuah. Sebab itu dia tidak mampu jawab,” ujar Penasihat Ekonomi Selangor itu dipetik MediaSelangorku.
Anwar sekali lagi mengulangi ikrar untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas Pakatan menawan Putrajaya selain membatalkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Jelajah itu turut disertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba pada jam 12.30 tengahari bersama rombongan dengan menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.
Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Ketua Penerangan Negeri, Shuhaimi Shafiei; Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.
Terdahulu, Jelajah Merdeka Rakyat mengunjungi penduduk Pekan Sungai Besi.
Selepas selesai di DUN Permatang, rombongan kemudian ke Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Jelajah diteruskan dengan solat dan tazkirah maghrib di Masjid Abu Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung sebelum bergerak ke Pekan Rasa.
Pada jam 9 hingga 12 tengah malam, program diteruskan dengan Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Pusat Bandar Baru Batang Kali, Ulu Selangor.
Penceramah terbabit termasuk Anwar, Khalid, Azmin, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Naib Presiden, N Surendran.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=38550

Monday, October 15, 2012

RAPID KL DAN IWK ALAMI KERUGIAN LEBIH RM1 BILLION

LAPORAN AUDIT Dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.


Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010.

Laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini antaranya menunjukkan IWK menanggung kerugian akibat terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk menampung perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

RapidKL pula dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hanya mencacatkan keuntungan pada tahun 2009 selepas mendapat peruntukan kerajaan berjumlah RM112.23 juta bawah pakej rangsangan ekonomi.

Audit juga mendapati terdapat kelemahan pengurusan dokumen kewangan serta kawalan dalaman sistem kutipannya.

Maklum balas RapidKL dalam laporan tersebut menyebut, kerugian yang dialami itu berpunca daripada kos pekerja dan kos penyelenggaraan yang sentiasa meningkat.

Selain itu, syarikat itu juga tidak pernah meningkatkan kadar tambang sejak mula beroperasi pada 2005 dan menganggarkan keadaan kewangan yang "lebih sukar" bagi membiayai perbelanjaan operasi sekiranya tidak menaikkan kadar tambang tren dan bas.

Syarikat itu juga akan terus memerlukan bantuan berterusan daripada Prasarana dan kerajaan sekirana tidak berbuat demikian, menurut maklum balas itu.

Bagaimanapun, syarikat itu berikrar untuk terus memperbaiki kedudukan kewangan syarikat serta memastikan semua inisiatif untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi berjalan lancar.

IWK pula dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit menyebut, prestasi kewangannya kurang memuaskan sejak tiga tahun lalu kerana kadar tarif pembetungan yang rendah sedangkan kos operasinya meningkat saban tahun.

Wednesday, September 19, 2012

ISLAM SENTIASA DI HATI SAYA ~ ABBY ABADI

HULU BERNAM - Walaupun dunianya sebelum ini dikelilingi hiburan yang dianggap melekakan namun dia bersyukur kerana ALLAH SWT mencampakkan hidayah dalam hatinya.

Itulah detik perubahan yang membawa dunia Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan ke arah dakwah keagamaan dan jauh meninggalkan popularitinya sebagai selebriti.
“Agama sentiasa ada dalam hati saya.
“Walaupun saya leka dalam dunia selebriti tetapi saya bersyukur ALLAH berikan hidayah dan memberi peluang saya berubah,” katanya ketika bercakap di hadapan kira-kira 300 penduduk dan penyokong Pas di Dataran Berop, dekat sini.
Abby, 35, dijemput oleh Pas Cawangan Berop, Tanjung Malim, Perak untuk berkongsi pengalaman hidupnya dan penghijrahannya ke dunia politik.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Misbahul Munir, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjung Malim, Salam dan Ketua Pas Cawangan Berop, Daud Husain.
Turut hadir, Ketua Ulama Pas Kawasan Tanjung Malim, Baharuddin dan Ketua PKR Cabang Tanjung Malim, Mejar B Kamal Badri.

Wednesday, July 18, 2012

TAN SRI KHALID ~ SELANGOR AMBILALEH SYABAS

SHAH ALAM 18 Julai: Kerajaan Selangor menghantar surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bagi memaklumkan hasrat kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Exco Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok mengetuai delegasi ke Putrajaya petang ini bagi menyerahkan surat itu secara peribadi.
“Isu ini penting (dan perlu) diselesaikan segera demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kerajaan Negeri konsisten berpendirian bahawa penstrukturan semula industri air adalah penyelesaian holistik dan menguntungkan rakyat seperti dihasratkan Akta Perkhidmatan Industri Air 2206,” jelas Khalid dalam satu kenyataan.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan penstrukturan semula untuk mengelakkan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menanggung kenaikan tarif air sebanyak 50 peratus.
Keputusan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 Perjanjian Konsesi untuk memberi notis kepada Kerajaan Persekutuan bagi kerajaan negeri masuk dalam pengurusan Syabas.
Xavier dalam kenyataan berasingan pula berharap, kakitangan Syabas yang berpengalaman dan berdedikasi agar tidak cemas terhadap masa depan mereka dalam proses ‘step in’ ini.
“Rombakan semula melibatkan pegawai pengurusan kanan, manakala semua kakitangan teknikal serta pegawai pengurusan dan pentadbiran peringkat pertengahan akan dikekalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid turut berkata, kumpulan profesional akan dihantar untuk meneliti operasi harian Syabas, ekoran kegagalan Syabas menjelaskan dengan terperinci beberapa isu dalam taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri pagi tadi.
“Ia dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Suhaimi Kamaruzaman; Pengarah Konsortium Abass, Ir Abas Abdullah; Pengurus Besar Pengurusan Air Kumpulan Perangsang Selangor, Karim Endut dan Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan Perangsang, Kevin Lee.
“Kami yakin kumpulan ini dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air,” kata Menteri Besar.

Sunday, July 15, 2012

TAHNIAH PDRM, OREN BUKTIKAN MALAYSIA BOLEH BUAT PERHIMPUNAN AMAN !!!

 *Rakyat berjaya membuktikan perhimpunan berlangsung aman tanpa provokasi mana-mana pihak dalam Perhimpunan Oren Selamatkan Felda hari ini. Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebab mana-mana pihak mahu melakukan provokasi kerana berhimpun secara aman merupakan hak rakyat. "Pertama sekali kita ucap terima kasih kepada pihak polis kerana beri ruang yang sangat baik dan hari ini kita nak buktikan perhimpunan tanpa provokasi akan berjalan dengan baik. Dalam negara demokrasi, hak rakyat untuk berhimpun secara aman,"

Friday, July 6, 2012

Pakatan Rakyat jaga UNISEL lebih baik dari BN


Unisel: Dakwaan Noh tidak relevan

shah Alam – Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad menyifatkan universiti tersebut kini adalah lebih baik di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) berbanding kerajaan Barisan Nasional(BN) sebelum itu.

Menurutnya, kenyataan bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo yang mengatakan kononnya universiti tersebut tidak menghadapi sebarang masalah semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) kerana mendapat sumber kewangan sendiri adalah sebagai tidak tepat.

Beliau berkata, dahulu kewangan Unisel dikawal sepenuhnya Kerajaan Negeri tetapi kini pihak Unisel boleh berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai perkara tersebut.

“Kalau nak dibuat perbandingan, Unisel pada hari ini adalah lebih baik berbanding dahulu kerana dahulu yang bermasalah.

“Macam sekarang soal kewangan saya sendiri boleh mengetahuinya dan boleh berbincang dengan Menteri Besar” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Unisel juga telah mencapai sasaran operasinya pada tahun ini dengan penambahan jumlah keseluruhan pelajar sebanyak 13,500 termasuk 2,800 pelajar yang akan menamatkan pengajian tahun ini.

Katanya, beliau percaya Unisel dapat menjadi sumber kewangan kepada Kerajaan Negeri menjelang hujung tahun ini.

“Unisel dah capai sasaran apabila Kerajaan Negeri mengambil alih bon tersebut pada Januari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kewangan Unisel, Anuar berkata, semua pembelian peralatan ataupun tender dibuat mengikut prosedur.

Katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai laporan lengkap kewangan tersebut kerana ia sedang dalam proses diaudit.

“Semua proses pembelian direkodkan dan kita telus mengenai hal ini dan akan dedahkannya apabila laporan tersebut selesai diaudit seperti mana yang dikatakan oleh Menteri Besar,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang pelantikan atau pun peletakkan jawatan adalah bukan di bawah bidang kuasa universiti tersebut sebaliknya ia terletak di bawah Kerajaan Negeri.

Anuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Unisel.

Menurutnya, tahun ini Unisel juga menempa nama apabila berjaya melahirkan seorang pelajar terbaik bidang kejuruteraan yang mendapat pengiktirafan daripada Insititut Kejuruteraan Malaysia.

"Kini lebih ramai pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD) mengajar di universiti ini," katanya.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel bakal menjadi gajah putih akibat kerakusan Kerajaan Negeri mempolitikkan pendidikan dan menjadikan universiti itu sebagai alat politik mereka. -SH

Sunday, July 1, 2012

Mandat rakyat sebenarnya kpd Abdullah Badawi....


KUALA LUMPUR: Secara tidak rasminya, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu.

Sebaliknya, selepas BN memenangi pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu, Najib dilantik oleh Tun Abdullah Badawi untuk menerajui BN, sekaligus membentuk kerajaan.

"Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang berhasrat untuk menunggu tempoh lima tahun sebelum memanggil pilihan raya umum bagi membolehkan beliau meneruskan mandat yang diberikan rakyat.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pihaknya bersetuju dengan hasrat tersebut, dan meminta Najib menyatakannya secara 'akujanji' tentang tempoh lima tahun tersebut.

"Jika benar beliau berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum selepas tamat tempoh penggal yang diberikan, adalah lebih baik jika ia memberi jaminan secara akujanji," tegas beliau lagi.

Tambah ahli parlimen Pokok Sena itu lagi, dengan hasrat Najib itu juga dilihat mampu menguruskan soal peruntukan negara membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara lebih berkesan.

Sebelum ini, dalam bajet tambahan yang dibentangkan di parlimen, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang kepada badan pengendali pilihan raya itu.

"Kalau ditetapkan tarikh pilihan raya seperti tepat pada tempoh mandatnya, banyak perkara boleh dilakukan dengan lebih mudah, termasuk wang peruntukkan yang diberikan kepada pihak berkaitan," tegas Mahfuz.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut menyambut baik hasrat Najib itu, walaupun ia sebenarnya menunjukkan sikap serba salah beliau yang sehingga kini tidak boleh menetapkan tarikh pembubaran parlimen.

"Bagaimanapun, apapun alasan beliau, kita terima kerana ia lebih memudahkan semua pihak untuk persiapan menghadapi pilihan raya," kata beliau yang dihubungi, hari ini.

Najib, dalam kenyataannya malam tadi menegaskan kerajaan BN sekarang berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi pilihan raya tahun 2008.


Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2012/07/rakyat-beri-mandat-kepada-abdullah.html#ixzz1zNnLdutC