Friday, July 6, 2012
Pakatan Rakyat jaga UNISEL lebih baik dari BN
Unisel: Dakwaan Noh tidak relevan
shah Alam – Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad menyifatkan universiti tersebut kini adalah lebih baik di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) berbanding kerajaan Barisan Nasional(BN) sebelum itu.
Menurutnya, kenyataan bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo yang mengatakan kononnya universiti tersebut tidak menghadapi sebarang masalah semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) kerana mendapat sumber kewangan sendiri adalah sebagai tidak tepat.
Beliau berkata, dahulu kewangan Unisel dikawal sepenuhnya Kerajaan Negeri tetapi kini pihak Unisel boleh berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai perkara tersebut.
“Kalau nak dibuat perbandingan, Unisel pada hari ini adalah lebih baik berbanding dahulu kerana dahulu yang bermasalah.
“Macam sekarang soal kewangan saya sendiri boleh mengetahuinya dan boleh berbincang dengan Menteri Besar” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, Unisel juga telah mencapai sasaran operasinya pada tahun ini dengan penambahan jumlah keseluruhan pelajar sebanyak 13,500 termasuk 2,800 pelajar yang akan menamatkan pengajian tahun ini.
Katanya, beliau percaya Unisel dapat menjadi sumber kewangan kepada Kerajaan Negeri menjelang hujung tahun ini.
“Unisel dah capai sasaran apabila Kerajaan Negeri mengambil alih bon tersebut pada Januari lalu,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kewangan Unisel, Anuar berkata, semua pembelian peralatan ataupun tender dibuat mengikut prosedur.
Katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai laporan lengkap kewangan tersebut kerana ia sedang dalam proses diaudit.
“Semua proses pembelian direkodkan dan kita telus mengenai hal ini dan akan dedahkannya apabila laporan tersebut selesai diaudit seperti mana yang dikatakan oleh Menteri Besar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang pelantikan atau pun peletakkan jawatan adalah bukan di bawah bidang kuasa universiti tersebut sebaliknya ia terletak di bawah Kerajaan Negeri.
Anuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Unisel.
Menurutnya, tahun ini Unisel juga menempa nama apabila berjaya melahirkan seorang pelajar terbaik bidang kejuruteraan yang mendapat pengiktirafan daripada Insititut Kejuruteraan Malaysia.
"Kini lebih ramai pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD) mengajar di universiti ini," katanya.
Kelmarin, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel bakal menjadi gajah putih akibat kerakusan Kerajaan Negeri mempolitikkan pendidikan dan menjadikan universiti itu sebagai alat politik mereka. -SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment