Thursday, July 1, 2010

ANWAR MANGSA LOBI ZIONIS

Julai 01

PKR: Anwar mangsa lobi Zionis

Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat beberapa hari lalu bukanlah untuk 'memujuk' Yahudi, sebaliknya bagi menyampaikan ucapan berhubung Islam dan demokrasi di Asia Tenggara, kata ketua penerangan PKR.

Latheefa Koya (kiri) berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pemimpin parti itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya di Shah Alam Ahad lalu.

"Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini.

Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia.

Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum.

'Mereka American'

"Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas.

"Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis."

Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika".

"Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) pula menyifatkan laporan Utusan Malaysia hari ini berniat jahat dan bagi menggambarkan Anwar pro-Yahudi.

"Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya.

Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme.

Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan:

"Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal."

KEMPEN TAK NAK JUDI DITERUSKAN - 3 JULAI SABTU 2 PTG MESJID NEGARA


Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).

Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina. Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.

Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.

Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.

Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya. GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.

Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.

Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat . Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi. Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua.

Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.

Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Wednesday, June 30, 2010

Piala Dunia : Sepanyol & Paraguay Layak Ke Suku Akhir..

Piala Dunia: Sepanyol 1 Portugal 0
CAPE TOWN: Juara Eropah, Sepanyol mempamerkan keunggulan apabila menumpaskan Portugal 1-0 pada pusingan kedua Piala Dunia di Stadium Green Point sebentar tadi. Gol tunggal jaringan penyerang David Villa pada minit ke-63 hasil hantaran Inesta sudah cukup untuk memastikan Sepanyol menempah tiket ke pusingan suku akhir.
Piala Dunia: Paraguay 5, Jepun 3 (Penentuan penalti)
Paraguay mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Jepun 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan apabila tamat masa tambahan dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Loftus Versfeld malam tadi.
Jepun gagal meraih gol pada penalti ketiga apabila sepakan Yuichi Komano terkena palang.
Paraguay akan dengan Sepanyol pada peringkat suku akhir.

Tuesday, June 29, 2010

Setpol baru MB - Faekah Husin

SHAH ALAM, 29 Jun – Faekah Husin hari ini mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik yang baru kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Acara itu berlangsung pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan SUK di sini.
Turut mengangkat sumpah ialah Dr Badrul Amin sebagai Pengarah Penerangan Negeri dan dua setiausaha eksekutif, Azman Abidin dan Dr Razali Bolhi.

Monday, June 28, 2010

HANIZA TALHA - AZMIN PELENGKAP KEPIMPINAN PKR SELANGOR

SHAH ALAM, 28 Jun – Wanita Keadilan Selangor percaya perubahan pucuk pimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor harus dilihat sebagai usaha penambahbaikan dalam  memperkasa gerak kerja politik dan pentadbiran di Selangor.
Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Wanita Keadilan Selangor, Haniza Talha menegaskan tidak wujud perpecahan seperti yang digembar-gembur media arus perdana, sebaliknya ketokohan mereka saling lengkap, melengkapi.
“Tidak ada perpecahan. Berbeza pendapat memang ada sebab kita hendak membela rakyat.Tidak ada isu perpecahan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu.
“Khalid ada kekuatan dia, Azmin ada kekuatan dia – kedua-dua ada kekuatan masing-masing. Seperti yang saya kata, kita bekerja sebagai satu pasukan, jadi kita saling lengkap melengkapi,” katanya lagi.
Berbeza dengan UMNO yang dilihat dekat dengan elemen diktatorisme, PKR sebaliknya bersifat demokrasi dan terbuka dalam menangani kepelbagaian pandangan di kalangan pemimpin.
“Kita sentiasa terbuka. Kalau ada ruang untuk improvement, kita sambut baik. Apapun ini kerja berpasukan. Apapun kerja-kerja membangunkan parti dan sebagainya adalah kerja berpasukan.
“Ia tidak bergantung kepada satu orang. Jadi siapa ketuanya kita sentiasa menyokong sebab kita berjuang atas satu prinsip – untuk menegakkan keadilan,” kata Haniza.
Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor percaya gandingan dua pemimpin ini bakal menyuburkan budaya politik baru di Selangor.
“Itu yang kita nak wujudkan – budaya politik baru kerana politik baru membawa ciri-ciri demokrasi. Kita boleh berbeza pendapat tetapi bila sudah diputuskan, kita mencapai kata sepakat walaupun tidak  selari dengan keputusan peribadi,” katanya.

DS ANWAR -Tiada siapa bangkitkan soal tukar MB kpd saya

  KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang baru, Mohamed Azmin Ali berkata, keutamaan yang akan diberikannya sekarang ialah untuk memperkukuhkan jentera parti itu dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan dengan itu, Azmin berkata, beliau akan memanggil satu mesyuarat dengan kesemua 22 ketua cabang PKR negeri untuk membincangkan barisan kepimpinan di peringkat negeri yang baru.
Katanya lagi, sekarang, dengan pembahagian bidang tugas dan tanggungjawab yang lebih jelas, beliau akan memberi fokus kepada jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Semalam, kepimpinan PKR pusat merombak pentadbiran parti itu di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan melantik Azmin mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengerusi PKR Selangor manakala Zaid Ibrahim mengantikan tempat Azmin sebagai pengerusi Wilayah Persekutuan.
Perubahan itu menguatkan lagi spekulasi yang mengatakan memang wujudnya masalah di Selangor apabila media massa melaporkan sekumpulan 15 Ahli Parlimen PKR merancang untuk memberikan tekanan kepada pucuk pimpinan agar menyingkirkan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Bagaimanapun kepimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin dan Abdul Khalid sendiri menafikan sebarang usaha ke arah tersebut.
Azmin yang ditanya sekali lagi mengenai hubungannya dengan Abdul Khalid hari ini menegaskan, adalah penting untuk mereka berdua sama-sama membantu dan memperkukuhkan negeri tersebut.
Beliau juga menjelaskan bahawa hubungannya dengan Khalid adalah harmoni dan beliau sentiasa bekerjasama dengannya dalam menangani apa jua isu di negeri tiu.
Malah katanya, Abdul Khalid patut diberi peluang untuk terus menerajui Selangor sebagai menteri besar.
“Selangor patut menjadi peneraju dan contoh kepada yang lain dalam hal tadbir urus yang baik sebelum kita bercita-cita untuk menduduki Putrajaya,’’ katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Ketua umum PKR ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata, jikalah benar ada permintaan untuk menukar menteri besar, sudah tentu ia telah dibangkitkan kepadanya.
Masalahnya kata Anwar, tidak ada pihak yang membuat permintaan tersebut dan beliau percaya masih mempunyai pengaruh untuk menentukan siapakah yang patut memimpin Kerajaan Negeri Selangor.

Thursday, June 24, 2010

Piala Dunia (26) : England 1, Slovenia 0, USA 1, Algeria 0. England & USA Layak Ke Pusingan Kedua

England dan Amerika Syarikat layak ke pusingan kedua Piala Dunia. Ini kedudukan akhir kumpulan C

TEAMS W D L GD PTS
USA 1 2 0 1 5
England 1 2 0 1 5
Slovenia 1 1 1 0 4
Algeria 0 1 2 -2 1
Piala Dunia: AS 1, Algeria 0
Pertemuan Amerika Syarikat dan Algeria dalam Kumpulan C berakhir dengan keputusan Amerika menang 1 - 0. Gol Amerika Syarikat telah dijaringkan oleh Landon Donovan pada minit akhir permainan. Dengan kemenangan ini, Amerika dan England layak ke pusingan kedua
Piala Dunia: Slovenia 0, England 1
England menewaskan Slovenia 1-0 dalam perlawanan Kumpulan C, Piala Dunia 2010 di Stadium Nelson Mandela Bay sebentar tadi.
Gol kemenangan England dijaringkan Jermain Defoe pada minit ke-23 hasil hantaran James Milner.
Kemenangan itu membolehkan England mara ke pusingan seterusnya.