Monday, June 28, 2010

HANIZA TALHA - AZMIN PELENGKAP KEPIMPINAN PKR SELANGOR

SHAH ALAM, 28 Jun – Wanita Keadilan Selangor percaya perubahan pucuk pimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor harus dilihat sebagai usaha penambahbaikan dalam  memperkasa gerak kerja politik dan pentadbiran di Selangor.
Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Wanita Keadilan Selangor, Haniza Talha menegaskan tidak wujud perpecahan seperti yang digembar-gembur media arus perdana, sebaliknya ketokohan mereka saling lengkap, melengkapi.
“Tidak ada perpecahan. Berbeza pendapat memang ada sebab kita hendak membela rakyat.Tidak ada isu perpecahan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu.
“Khalid ada kekuatan dia, Azmin ada kekuatan dia – kedua-dua ada kekuatan masing-masing. Seperti yang saya kata, kita bekerja sebagai satu pasukan, jadi kita saling lengkap melengkapi,” katanya lagi.
Berbeza dengan UMNO yang dilihat dekat dengan elemen diktatorisme, PKR sebaliknya bersifat demokrasi dan terbuka dalam menangani kepelbagaian pandangan di kalangan pemimpin.
“Kita sentiasa terbuka. Kalau ada ruang untuk improvement, kita sambut baik. Apapun ini kerja berpasukan. Apapun kerja-kerja membangunkan parti dan sebagainya adalah kerja berpasukan.
“Ia tidak bergantung kepada satu orang. Jadi siapa ketuanya kita sentiasa menyokong sebab kita berjuang atas satu prinsip – untuk menegakkan keadilan,” kata Haniza.
Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor percaya gandingan dua pemimpin ini bakal menyuburkan budaya politik baru di Selangor.
“Itu yang kita nak wujudkan – budaya politik baru kerana politik baru membawa ciri-ciri demokrasi. Kita boleh berbeza pendapat tetapi bila sudah diputuskan, kita mencapai kata sepakat walaupun tidak  selari dengan keputusan peribadi,” katanya.

No comments:

Post a Comment