
Syaitan
 dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan 
memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke 
akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat 
iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul 
maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. 
menerangkan: Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau 
daripada perdayaan syaitan di waktu maut.” 
Rombongan 1  
 Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan 
aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan 
minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul 
maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang 
tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu 
nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan 
lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah 
tempatnya. 
Rombongan 2  Akan datang 
Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri 
sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan 
Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu 
memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat
 sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari 
badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam 
keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan
 ke nerakalah tempatnya. 
Rombongan 3  
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam 
sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi
 minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati 
itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia 
minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba 
(judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan 
ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu 
meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba 
itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa
 kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah 
tempatnya. 
Rombongan 4  Akan datang 
Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang
 akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di 
dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan 
sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun 
datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah 
tempatnya.
Rombongan 5  Akan datang 
Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, 
seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang 
yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan
 lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman
 yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata 
dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang 
kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan
 menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan 
marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.” Maka dia pun sudi mengikut 
pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun 
sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka
 dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya. 
Rombongan 6 
 Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang 
membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah 
sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya
 kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan
 bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka 
hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu 
datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini 
kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam 
keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang 
sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Iblis: 
“Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru 
sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. 
Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu 
hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.” 
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan 
dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam 
kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi 
tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang 
yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: 
“Bagaimanakah Zat Allah?” 
Iblis merasa gembira apabila jeratnya 
mengena. Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan 
tirai akan dibuka kepadamu.” Apabila tirai dibuka selapis demi selapis 
tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu 
pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar 
dari langit dan bumi. Berkata Iblis: “Itulah dia Zat Allah yang patut 
kita sembah.” Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, 
bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai 
jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai
 atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah
 tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat 
kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui 
dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.”
 Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut 
nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan 
kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya
 di dunia ini. 
Rombongan 7  Rombongan 
Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 
barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat 
Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang 
benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. 
Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam 
dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia 
sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang 
hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk 
menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha
 bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. 
Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu 
(orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha 
Illallah.” Iblis Dengan Ahli Neraka
 DALAM sebuah hadith 
diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka 
di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, 
bermahkota dari api dan diikat iblis itu dengan tali dari api. Kemudian 
dikatakan kepada Iblis laknat: “Wahai Iblis, naiklah kamu ke atas mimbar
 dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka.” Setelah Iblis menerima 
arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai para 
penghuni neraka.” Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan 
ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu Iblis. Kata 
Iblis: “Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, 
sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang 
benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan 
akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke 
neraka Sa’ir.” Berkata Iblis lagi: “Kamu semua menyangka bahawa kamu 
semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan 
tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan
 aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, 
maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, 
mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya 
kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang 
mengumpat.” Berkata Iblis lagi: “Mengapakah kamu tidak mahu menyembah 
Allah SWT sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?” Akhirnya
 Iblis berkata: “Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari 
seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. 
Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku 
katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan
 Tuhan seru sekalian Alam.”  
Setelah mereka (ahli neraka) 
mendengar kata-kata Iblis itu maka mereka melaknati Iblis itu. Setelah 
itu Iblis dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan 
jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya 
bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka. 
Malaikat Zabaniah berkata: “Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak
 ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya.” 
Janganlah kita menjadi orang yang bodoh apabila kita tahu bahawa Iblis 
itu hanya menipu kita, Iblis itu adalah musuh ketat kita. Oleh itu 
janganlah sekali-kali kita ikut menjadi ahli keluarganya, selagi kita 
bernafas cepatlah kita kembali ke pangkal jalan kalau nafas sudah 
berhenti maka segala-galanya tidak berguna lagi. Mereka yang takut 
kepada Allah SWT adalah orang yang akan mendapat kebahagiaan di dunia 
dan di akhirat, oleh itu sembahlah hanya kepada Allah. Orang yang takut 
kepada   Allah SWT adalah mereka ini disebut orang yang amanah, orang 
yang bersopan santun, orang yang menganggap semua orang Islam itu 
sebagai saudaranya. Mereka yang mencabar kekuasaan Allah SWT dengan 
berketuakan Iblis dan Syaitan adalah mereka ini dikenali sebagai kaki 
bohong, kaki pencuri, kaki judi, kaki arak, kaki dadah dan sebagainya. 
bagi mereka ini setiap yang sama dengan mereka adalah ahli atau 
kakitangan Iblis. Kerja mereka adalah menjatuhkan maruah mereka sendiri 
dan menghancurkan Islam.
waallahua'alam