Sunday, August 30, 2009

ISU MENGARAK KEPALA LEMBU DI SHAH ALAM

Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya. Ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam. Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri. Tindakan kumpulan ini adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam. Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah.
Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan. Inilah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi.
Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).
Jelasnya, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?Melihat kepada ironisnya peristiwa yang terjadi, kita mengesyaki bagaikan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal. Maka itu, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada.
Dengan kejadian ini, kita menuntut agar tindakan segera hendaklah dilakukan oleh semua pihak berwajib – polis, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama sendiri. Siasatan perlu perlu dibuat, siapa sebenarnya mereka (khususnya kewujudan individu yang tidak dikenali bersama kepala lembunya), siapa di belakang mereka dan apakah matlamat mereka sebenarnya.
Kita juga memohon kesabaran dan ketenangan semua pihak. Suasana dialog dan mesyuarah dalam menyelesai segala kemelut yang berlaku hendaklah disuburkan. Ini sudah pasti dapat meningkatkan persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatnya. Bukankah Islam itu agama yang membawa kesejahteraan?
Dr.Muhammad Nur Manuty (dr_manuty@hotmail.com)
PengerusiBiro Pemahaman Dan Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat
30hb.Ogos, 2009

No comments:

Post a Comment