SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat berada
pada pusingan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) apabila
beliau sekali lagi membuat kunjungan ke beberapa negeri sehingga 24
Februari ini.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata,
lawatan itu boleh disifatkan sebagai pecutan trakhir Najib dalam
menghadapi pilihan raya yang dianggap paling getir.
“Ini adalah persiapan paling rapi yang pernah dibuat Perdana Menteri,
beliau (Najib) mahu memastikan PRU13 adalah lebih baik daripada 2008.
“Saya percaya pecutan terakhir ini mampu memberi impak yang besar
kepada Barisan Nasional (BN). Melalui lawatan itu juga adalah penentu
bila tarikh PRU13,” katanya.
Perdana Menteri mempunyai masa sehingga 27 April ini untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.
Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia berkata, lawatan perdana
menteri itu juga sebagai penyuntik semangat kepada pemimpin di peringkat
akar umbi untuk bersedia menghadapi PRU13.
“Lawatan turun padang itu juga adalah peluang perdana menteri untuk
melihat sendiri maklum balas rakyat terhadap kerajaan, dan apabila telah
berpuas hati pasti tarikh pilhan raya itu akan lebih hampir,” katanya.
Beliau turut berpendapat yang BN masih mempunyai kelebihan di dalam
pilihan raya akan datang dengan melihat sokongan dan gerak kerja yang
dilakukan oleh perdana menteri dan parti kompenan BN.
“Walaupun banyak pihak yang mengandaikan parti kompenan BN tidak buat
kerja, saya fikir tidak semuanya begitu, mungkin mereka kurang mendapat
pendedahan media massa.
“BN masih menguasi beberapa perkara yang mampu menjadi penentu kemenangan parti itu dalam PRU13 nanti,” katanya.
Semalam, Najib berada di Johor menyertai sambutan Tahun Baru Cina
bersama dengan komuniti di Kulaijaya dan turut melancarkan projek
Perumahan Rakyat 1Malaysia.
Kelmarin beliau berada di Pulau Pinang.
Beliau akan ke Sabah hari ini selama dua hari yang mana beliau dijangka
menghadiri beberapa program di Beaufort, Papar dan Tuaran pada Khamis.
Seterusnya, pada Jumaat, Najib akan berada di Ipoh bagi merasmikan
Pusat Transformasi Urban dan akan ke Seri Iskandar selepas solat Jumaat
untuk menghadiri sebuah program bertemakan ‘Mengubah Destini Orang
Asli’.
Najib juga dikhabarkan akan berkunjung ke Majlis Santai Para Pemimpin
Malaysia-Singapura di republik itu pada 18 Februari dan beliau dijangka
akan singgah di Johor Bahru pada hari berikutnya untuk melihat
perkembangan pembangunan di Nusajaya dan Iskandar Malaysia.
Perdana Menteri, juga akan mengisi masa di Sarawak pada 20 Februari
sehingga 22 Februari untuk menghadiri beberapa program di Kuching dan
Miri, dan kemudiannya ke Terengganu pada 23 Februari untuk lawatan
sehari di mana jadual beliau akan melibatkan program Jelajah Janji
Ditepati.
Kemungkinan yang terakhir, Najib akan berada di Kuala Pilah, Negeri
Sembilan bagi menghadiri program bertemu rakyat pada 24 Februari.
SHAH ALAM – Beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan
nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU13).
Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal
dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.
Antara nama-nama besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak
akan dicalonkan semula akibat masalah berkenaan ialah seorang menteri
besar, seorang ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti.
Difahamkan, perkembangan terbaru ini disedari setelah urusan awal
tapisan senarai calon yang diserahkan beberapa parti kepada SPRM untuk
tapisan menjelang PRU13 selesai, baru-baru ini.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama calon sudah
diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang dilakukan, beberapa
nama-nama besar telah gagal saringan.
Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah
dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu
sebagai calon mereka.
Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang
gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika
dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.
Ketika dihubungi Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM
(Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen
mengenai perkara tersebut.
Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian
Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih membuat tapisan ke
atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik.
Katanya, parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13 masih terus
menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan
terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan
nanti.
-sinarharian.com

