MENJOLAK MENTARI
Masa untuk menyelamatkan DUN Selangor dibubarkan ekoran kegagalan
menyelesaikan kemelut pengganti Khalid Ibrahim masih ada sedikit sahaja
lagi. Di pihak Sultan Selangor dikira sudah begitu melegakan apabila
baginda telah memberi ruang meminta parti-parti Pakatan, PKR, Pas dan
DAP menghantar lebih dua nama.
Sedikit sebanyak sultan telah bermurah hati dan sedia melayan demokrasi
di Selangor. Atas budibicara baginda boleh sahaja meminta Khalid
"menasihatinya" agar membubarkan DUN Selangor. Tetapi nampaknya tidak
begitu. Semangat Perlembagaan dan Undang-undang tampaknya dipedulikan
oleh sultan. Baginda juga peka dengan implikasi yang bakal menimpa
batang tubuhnya sekiranya tindakan membubar dewan dilakukan. Baguslah.
Kini semuanya terletak kepada PKR bagi menentukan
apakah DUN Selangor perlu dibubarkan atau tidak. Kata putus tergenggam
dalam tangan PKR. Semalam pihak istana telah mengutus surat kepada parti
itu agar menamakan nama lain selain Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk
diklantik menjadi MB. Tetapi ada usaha untuk memanipulasikan hakikat
surat berkenaan menyebabkan kenyataan dikeluarkan ditarik balik. Kenapa
terjadi begini? Seolah-olah orang yang melakukan ini sebagai satu
sabotaj dalaman pula.
PKR berpegang kepada prinsip dan pendiriannya menghantarkan hanya satu
nama sahaja. Semua orang kena menerima dan menghormati pendirian itu.
Tetapi dalam politik tidak semestinya pendirian yang betul itu tetapi
kalau ia mendatangkan masalah perlu ditegakkan.
Apakah PKR tetap berpegang kepada pendirian itu hanya mahukan Dr Wan
Azizah sahaja? Kalau itulah pendirian tegas PKR, ini bermakna jalan ke
arah pembubaran DUN semakin cerah. PKR terutamanya pemimpin yang
bersedia untuk memasuki ke pejabat MB bersama Dr Wan Azizah harus
berfikir jauh dan berfikir untuk diri sendiri.
Kalaulah DUN dibubarkan dan pilihan raya diadakan semula, katalah
Pakatan Rakyat menang dan PKR sekali lagi diberikan kepercayaan oleh
rakannya untuk mengetuai parti, dan nama Wan Azizah juga diajukan kepada
sutltan untuk jadi MB apakah keadaan yang berlaku sekarang ini tidak
berulang? Apakah boleh dipastikan kalau hari ini sultan tolak nama Wan
Azizah esok sultan boleh menerimanya.
Walaupun ia tidak mustahil tetapi ia agak mustahil untuk berlaku begitu.
Rasanya kalau hari ini jarum tidak dapat meloloskan diri maka kelendan
juga tidak akan dapat menurtinya. Hari Jumaat tidak akan mendahului hari
Khamis kerana sunatullahnya begitu. Pada saya seeloknya Dr Wan Azizah
kena
surrender.
Saya yakin waktu ini atau malam tadi pimpinan PKR sudah pun
membincangkan hal ini dan keputusan sudah pun ada serta sedia untuk
dimaklumkan. Cuma diharap keputusan itu janganlah tegang sehinggakan
pembubaran DUN berlaku. Sebab seperti dikatakan tadi kalau DUN
dibubarkan apa yang berlaku kini tetap akan berlaku. Tidak semudah itu
untuk memaksa hati sultan daripada menerima seseorang yang tidak
diperkenankannya. Sultan adalah sultan. Berihu kali puyuh berkokok macam
terkukur, ia tetap puyuh juga yang ekornya pendek dan terbang rendah.
Yang terbaik PKR bersama Pakatan Rakyat hantarlah nama lain. Sekiranya
nama Mohamed Azmin Ali tidak dapat dipersetujui kerana masalah tertentu,
hantarlah nama lain. PKR masih ada 12 nama lagi yang boleh diangkat
menjadi MB. Itu Adun Ijok Dr Isris Ahmad boleh diangkat untuk jadi MB
sementara. Dalam soal ini baik Dr Wan Azizah dan mereka yang
mengekorinya dan juga Azmin redalah dengan apa yang berlaku.
Bersabit dengan Azmin hairan kenapa timbalan presiden ini tidak dapat
diterima. Apakah penolakan kerana kelemahan kepimpinannya ataupun kerana
ada chemistry tertentu? Kalau ia ditolak kerana hal-hal personal ini
bermakna PKR sudah tidak rasional lagi dalam politik. Masalah
ketidakrasionalan inilah menjadikan PKR bermasalah dan juga mengheret
sama Pakatan Rakyat.
Saya diberi tahu Azmin tidak disenangi oleh Dr Wan Azizah dan
keluarganya. Begitu juga Khalid Ibrahim tidak menyenangi Azmin. Saya
faham kalau Khalid tidak menenangi Azmin, tetapi tidak faham kalau Dr
Wan Azizan dan keluarganya tidak menyenangi Azmin. Maaf saya terpaksa
menyebut dan bertanyakan hal ini? Ingat Azmin bukan milik sesiapa tetapi
dia milik PKR.
Semua orang dalam PKR harus berjiwa berjiwa besar untuk memastikan
kerajaan negeri Selangor dapat diteruskan oleh Pakatan Rakyat.
Setidak-tidak tahan diri untuk kira-kira tiga tahun lagi sebelum pilihan
raya umum ke-14 menjelang. Masa itu atur dan susunlah agar hasrat dan
cita-cita peribadi masing-masing tercapai?
Perkara yang perlu diutamakan bukan soal peribadi atau melantik sesiapa
yang kita berkenan dan suka, tetapi lantiklah mereka yang boleh diterima
sultan dan diperkenankan olehnya. Sebab perlu diketahui pemutusnya di
situ. Berkeras dengan sultan sampai ke bila pun tidak akan menang.
Sultan diibartkan durian rakyat (PKR) diibaratkan mentimun. Tergolek
kena digolek pun kena. Apa lagi dalam keadaan apa juga dan bila-bila
masa sahaja akan wujud dua kumpulan orang Melayu di negara ini satu
menyokong raja dan satu lagi tidak setuju dengan raja.
Kewujudan dua kumpulan yang bertentangan inilah yang menyebabkan segala
masalah berhubung dengan kepentingan orang Melayu juga sukar
dilaksanakan. Tidak mahu pula saya memberi anologi lebih kepada bangsa
yang satu ini, Melayu.
[wm.kl.9:20 am 04/09/14]