Friday, July 16, 2010

DEMO RAKYAT SELANGOR KONON..... DULU HASIL PASIR MASUK KE KANTONG SIAPA?

Demo selamatkan rakyat selangor yang dibuat oleh pemuda selangor nampaknya memakan diri sendiri, mengutuk kerajaan negeri selangor tidak pandai tadbir negeri..kononnya..jahanam pkr, hidup rakyat..
Bagaimana dengan kenaikan harga minyak, gula, tepong hari ini?
Siapa yang tidak pandai tadbir?
Dimasa piliharaya kecil hulu selangor ada pemimpin be end yang memutar belitkan tentang air percuma diberi oleh kerajaan be end, manakala gula naik disebabkan kerajaan baru pakatan rakyat..... memang orang hulu selangor dipatahkan perubahan minda dengan pemimpin yang tidak berilmu..
Nasib baik lah ada suara keadilan, dapatlah sekolah berasrama untuk orang felda, universiti untuk anak felda, dapatlah jumpa menteri turun felda, jika tidak disebabkan isu bangkrup felda oleh suara keadilan, semua ini tidakberlaku...

sumber: www.sas-2008.blogspot.com

Thursday, July 15, 2010

Perlantikan Pembangkang sebagai Pengerusi PAC di DUN Selangor..BN ada berani kaa!

Perlantikan Pembangkang sebagai Pengerusi PAC di DUN Selangor

Persidangan Dewan Negeri Selangor pada kali ini mencipta sejarah bukan sahaja di sejarah politik dan sejarah demokrasi berparlimen Selangor tetapi juga di negara Malaysia.
Selepas menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat yang pertama di Selangor, kini Dewan Negeri Selangor akan mencipta sejarah buat pertama kali berlaku di Malaysia, di mana Dewan akan meluluskan usul untuk melantik wakil daripada Pembangkang sebagai Pengerusi PAC kerana sebelum ini belum ada lagi Dewan Perundangan seperti Dewan Negeri Selangor yang melantik wakil pembangkang sebagai pengerusi PAC.
Ini akan menetapkan satu predecence baru dalam sejarah demokrasi berparlimen di Malaysia dan mencerminkan status negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang betul-betul maju, bukan sahaja daripada fizikalnya tetapi juga dari segi sahsiah politiknya kerana ini merupakan kali pertama anggota daripada pembangkang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam atau nama singkatannya Public Accounts Committee (PAC).
Usul ini juga mencerminkan cita-cita kerajaan Selangor untuk memastikan prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan beramanah betul-betul diterap ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan bukan retorik semata-mata.
PAC merupakan salah satu jawatankuasa Dewan yang paling penting dan diberi tanggungjawab untuk menyiasat dan menyemak semua penyelewengan jabatan-jabatan kerajaan dan memastikan eksekutif bertanggungjawab terhadap Dewan melalui pengawalan perbelanjaan wang ringgit orang ramai.
Pengerusi PAC yang baru (Mohd Shamsudin bin Lias, gambar kiri) perlu menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama.  Beliau harus mengetepikan perbezaan politiknya dan bekerja kuat dengan memartbatkan prinsip ketelusan dan beramanah dalam pentadbiran kerajaan Selangor, yakni cabang eksekutif kerajaan Selangor.
Walaupun secara kebiasaannya Ketua Pembangkang yang dilantik menjadi Pengerusi PAC, tetapi kali ini saya difahamkan wakil-wakil daripada pembangkang telah diberi peluang untuk memilih wakil mereka sendiri.  Ini menunjukkan keterbukaan Dewan Negeri Selangor dan saya berharap tradisi cemerlang ini dapat diteruskan di dalam Dewan yang Mulia ini biarpun kerajaan bertukar tangan.
Pengerusi PAC yang baru bakal menghadapi cabaran yang lebih besar.  Pengerusi baru perlu berusaha untuk membawa perubahan dalam gerak kerja dan fungsi PAC serta menjadikan struktur pentadbiran kerajaan Selangor semakin cekap tanpa mengira siapa yang memegang kerajaan.  Pengerusi baru juga perlu memastikan wang ringgit orang awam digunakan dengan sebaik mungkin demi mengelak sebarang bentuk ketirisan.
Saya (Lau Weng San, gambar kanan) turut menggesa anggota-anggota PAC yang lain serta kakitangan kerajaan memberi segala bantuan dan kerjasama yang diperlukan kepada Pengerusi PAC yang baru ini supaya beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik.  Jangan pula Pengerusi PAC datang daripada pembangkang maka beliau dipandang remeh.
Negara dan negeri kita sedang mengalami perubahan.  Budaya politik lapuk yang mementingkan partisan sudah semakin usang.  Keterbukaan, keupayaan, beramanah pula merupakan kata-kata keramat untuk menentukan bangun dan jatuhnya sesebuah negeri.
Saya berharap dengan perlantikan ini, Dewan-Dewan Negeri (termasuk negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat) dan Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan akan mengikut jejak langkah Dewan Negeri Selangor ini.
Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi PAC yang lama, iaitu YB Kajang dan tahniah kepada Pengerusi PAC yang baru, iaitu YB Sungai Burung.  Semoga PAC di bawah YB Sungai Burung akan membantu rakyat dan kerajaan Selangor ke arah mercu tanda yang lebih tinggi.
*Ucapan ADUN Kampung Tunku-DAP, Lau Weng San semasa membahas Usul Perlantikan Pembangkang Sebagai Pengerusi PAC pada 14 Julai 2010.

Sunday, July 4, 2010

MENGAPA HISHAMUDDIN NAK HAIRAN....


Nampak tak siapa dibelakang Raja Petra??

Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, seorang yang bertanggungjawab, beliau akan memberi penjelasan kepada rakyat apa hubungannya dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Kononnhya menurut Hishamuddin "Kita memang tertanya-tanya, dalam pada kita tercari-cari di mana Raja Petra, semalam kita lihat gambar Zaid bersamanya, jadi siapa sebenarnya di belakang Raja Petra?

Aku rasa yang tertanya-tanya dimana Raja Petra sekarang hanyalah Hishamuddin seorang kerana kebanyakkan rakyat Malaysia yang mengikuti Malaysia Today telah tahu yang Raja Petra kini berada di England setelah beliau menyiarkan gambarnya dihadapan Scotland Yard beberapa bulan yang lalu..

Dan Dato Zaid Ibrahim juga telah menjelaskan kepada kita akan hubungannya dengan Raja Petra, sebagai kawan. Kawan yang tidak meninggalkan kawan yang berada didalam kesusahan, sila baca di SINI

Hishammuddin juga berkata pihak berkuasa tidak mempunyai laporan bagaimana Raja Petra ke luar negara sedangkan pasportnya telah diserahkan.

"Apa pasport yang dia guna pun kita tak tahu. Kalau nak bawa dia balik dari England pun, kita kena bekerjasama dengan polis UK (United Kingdom) tapi sekarang ni jelas mereka tidak akan bekerjasama dengan kita," katanya.

Apa yang nak dihairankan Hishamuddin ooiii... Rakyat Indonesia, Rakyat Bangladesh, Rakyat Thailand, Rakyat Myanmar dan lain -lain negara ramai yang boleh masuk dan bekerja secara haram di Malaysia ini.. kalau beribu-ribu orang tu boleh keluar dan masuk begitu mudah.. Raja Petra dan Keluarganya apalah sangat..

Saturday, July 3, 2010

Tips bila marah

Rasulullah sebut ketika seorang lelaki itu meminta nasihat kepada dirinya, lalu Baginda hanya menyebut “jangan marah”. Ianya direkodkan di dalam Sahih Bukhari. Perkataan Baginda tersebut bukan hanya ditujukan kepada lelaki itu tetapi juga kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad.
Ada beberapa pengajaran yang baik di dalam kisah dan hadith tersebut :
Pertama : Kembali kepada Allah dengan berdoa. Ini kerana Allah sahaja boleh menolong kita redha dari kemarahan tersebut.
Kedua : Sebut “A’UZUBILLAHI MINASSYAITONIRRAJIM” yang maknanya aku berlindung dengan ALlah dari Syaitan yang direjam!” Kalimah ini diajar di dalam hadith baginda yang lain.
Apabila kita semakin marah, syaitan gelakkan kita tanda dia sudah berjaya masuk di dalam saluran darah kita dengan banyak. Tak mustahil, orang-orang yang kerasukan juga ada kaitan dengan masalah peribadi sehingga menyebabkan tidak dapat mengawal diri, tidak dapat mengawal tekanan dan pelbagai masalah yang tidak selesai sehingga membuatkan unsur-unsur lain ‘terjah’ ke dalam diri.
Ketiga : Ujian dari Allah. Marah itu juga sebagai kayu ukur ujian samada kita ini benar-benar hamba yang bertaqwa kepada Allah atau kita main layan sahaja perasaan marah sehingga orang yang beristeri boleh menceraikan isterinya, anak yang kecil sanggup dibelasah, muka yang cantik sanggup dilukakan hanya kerana MARAH.
Keempat : Berhenti dari bercakap apabila marah dan tukarkan kedudukan anda. Ini adalah tips yang paling banyak dipakai oleh pakar motivasi. Sebenarnya jelas-jelas diambil dari hadith Baginda Rasulullah. Kalau tak percaya, cuba cari kitab RIYADUSSOLIHIN karangan Imam Nawawi dan carilah sendiri! Tentu anda terkejut, teks itu adalah berpunca dari mulut Baginda Rasulullah. Hadithnya :
( إذا غضب أحدكم وهو قائم فليجلس ، فإن ذهب عنه الغضب وإلا فليضطجع ) رواه أبو داود .
“Apabila seseorang itu marah, dia hendaklah duduk jika dia dalam keadaan berdiri, jika tidak, baringlah ia” [Riwayat Abu Dawud]
Kelima : Bertafakkur punca-punca kemarahan tersebut
Keenam : Latih diri bertenang dan cuba senyum kembali. Pastikan akhirnya anda berwudhu menghilangkan terus kemarahan tersebut.

Wallahua’lam

Thursday, July 1, 2010

ANWAR MANGSA LOBI ZIONIS

Julai 01

PKR: Anwar mangsa lobi Zionis

Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat beberapa hari lalu bukanlah untuk 'memujuk' Yahudi, sebaliknya bagi menyampaikan ucapan berhubung Islam dan demokrasi di Asia Tenggara, kata ketua penerangan PKR.

Latheefa Koya (kiri) berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pemimpin parti itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya di Shah Alam Ahad lalu.

"Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini.

Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia.

Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum.

'Mereka American'

"Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas.

"Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis."

Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika".

"Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) pula menyifatkan laporan Utusan Malaysia hari ini berniat jahat dan bagi menggambarkan Anwar pro-Yahudi.

"Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya.

Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme.

Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan:

"Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal."

KEMPEN TAK NAK JUDI DITERUSKAN - 3 JULAI SABTU 2 PTG MESJID NEGARA


Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).

Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina. Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.

Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.

Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.

Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya. GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.

Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.

Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat . Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi. Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua.

Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.

Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).