SHAH   ALAM 6 FEB: Kerajaan Umno-BN perlu menjelaskan keutamaan kerajaan   kerana sanggup membelanjakan RM6 Bilion untuk pembinaan enam buah kapal   peronda untuk Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) tetapi menarik balik   subsidi rakyat dengan alasan kerajaan tidak mencukupi dana.
Ahli  Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony  Pua Kiam Wee berkata demikian  mengulas pengumuman Menteri Pertahanan,  Datuk Zahid Hamidi bahawa  Kementerian Pertahanan akan membelanjakan RM6  Bilion bagi membina enam  kapal peronda TLDM generasi kedua dengan  Boustead Naval Shipyard (BNS)  Sdn Bhd. 
Tegas beliau, tindakan  ini langsung  tidak mencerminkan polisi kerajaan Umno-BN yang sentiasa  melaungkan  slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.
"Perlukah  kerajaan Malaysia membuat  pelaburan membeli kapal pada masa ini  walaupun ekonomi kita masih belum  pulih dengan sempurna dan walaupun  kerajaan pada masa ini kerap  memberitahu rakyat bahawa kerajaan tidak  mempunyai wang yang mencukupi  dan wang untuk subsidi rakyat pula  dikurangkan," kata beliau.
Selain  itu, beliau juga mempersoalkan  ketelusan kontrak ini kerana kerajaan  mahu memberikannya kepada sebuah  syarikat mempunyai rekod korupsi yang  amat kronik hingga kerajaan  terpaksa mengeluarkan dana tambahan untuk  'menjamin keluar' syarikat  tersebut.
"Bukankah  kerajaan sepatutnya lebih  teliti dengan penawaran kontrak supaya  kontak-kontrak yang ditawarkan  juga perlu ditawarkan kepada pihak yang  paling berkebolehan untuk  menyiapkan kerja," tegas beliau.
Sebelum  ini, syarikat milikan kerajaan,  Penang Shipyard and Construction  Industries Bhd (PSCI) telah diberi  kontrak yang serupa pada tahun 1998,  iaitu membina dan membekal enam  kapal peronda bagi TLDM dengan harga  RM5.4 Bilion.
Tetapi, disebabkan  korupsi yang kronik  dalam PSCI menyebabkan PSCI tidak dapat menyiapkan  kapal-kapal tersebut  dan terpaksa meminta kerajaan untuk mengeluarkann  modal tambahan.
Korupsi dalaman  PSCI menyebabkan  kerajaan terpaksa 'menjamin keluar' syarikat tersebut  merombak semula  pengurusan serta bergabung dengan Boustead Holding Bhd,  menjadi Boustead  Naval Shipyard Sdn Bhd.
"Saya  rasa perkara ini, sepatutnya kalau  menteri ingin mengumumkan perkara  ini sepatutnya memberikan maklumat  yang lebih terperinci agar rakyat  dapat menilai samada kontrak ini  adalah munasabah, wajar," kata beliau.
Katanya  lagi, penerangan juga perlu  diberikan kerana rakyat juga perlu tahu  spesifikasi kapal yang  melonjakkan harga kapal peronda ini hingga  mencecah RM1 Bilion seunit.
"Harga RM 1 bilion setiap kapal merupakan harga yang mungkin munasabah dan mungkin terlalu mahal. Ini tertakluk kepada samada kapal ini mempunyai jenis senjata ataupun jenis misil yang canggih ataupun radar yang tak sama, kerana menurut maklumat yang saya dapat, harga kapal ini adalah antara RM100 juta hingga RM1 Bilion pun boleh," jelas beliau.
    
"Harga RM 1 bilion setiap kapal merupakan harga yang mungkin munasabah dan mungkin terlalu mahal. Ini tertakluk kepada samada kapal ini mempunyai jenis senjata ataupun jenis misil yang canggih ataupun radar yang tak sama, kerana menurut maklumat yang saya dapat, harga kapal ini adalah antara RM100 juta hingga RM1 Bilion pun boleh," jelas beliau.