SHAH ALAM, 20 Oktober :  Pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap penggantungan perkhidmatan  pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam  Antarabangsa Malaysia (UIAM) ekoran kenyataannya berkenaan titah Sultan  Selangor baharu-baharu ini.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK)  melalui Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penggantungan itu  jelas mencalarkan imej UIAM selaku ‘Taman Ilmu dan Budi’, apabila  seorang pensyarah yang berhujah melalui fakta dan kepakarannya, ditekan  dengan tindakan seumpama itu.
“AMK tidak berniat untuk campur tangan  di dalam pentadbiran UIAM. Sebaliknya, yang dipertikaikan ialah kenapa  wujud kekangan ke atas kebebasan akademik, atau secara asasnya kebebasan  berfikir di kalangan pensyarah yang bertanggungjawab mendidik  mahasiswa?,” soal beliau dalam satu kenyataan media.
Sementara itu,Pergerakan Tenaga Akademik  Malaysia (Gerak) menjelaskan, mana-mana negara yang mahukan universiti  mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti  menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik.
“Gerak merasa terkilan atas celaan  berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau,” kata  setiausaha agungnya, Rosli H Mahat.
Jelasnya, Abdul Aziz adalah seorang yang  berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional  dalam bidang kepakaran beliau.
“Kebebasan akademik ini telah disaran  oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the  Status of Higher Education Teaching Personnel,” ujarnya lagi.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony  Pua berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan  polis juga dengan segera perlu menarik balik tindakan mereka mahu  menakut-nakutnya pensyarah itu hanya kerana memberikan pandangan  mengenai undang-undang.
“Pada masa yang sama, UIA seharusnya  menarik balik surat tunjuk sebab yang mengakibatkan persepsi bahawa  pihak berkuasa universiti di Malaysia kurang kebebasan dan hanya  bertindak sebagai alat kepada parti pemerintah untuk menekan  pandangan-pandangan yang berbeza,” kata beliau.
Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata  tindakan UIAM menggantung pakar perlembagaan terkemuka itu amat  mendukacitakan. ”UIAM, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang  bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik  menyuarakan pendapat dan idea,” katanya.
Tambah Elizabeth lagi, universiti  tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr Aziz apabila beliau  diserang oleh ahli politik dan media UMNO, tetapi sebaliknya menggantung  beliau.
“Dengan mengambil tindakan ini, UIAM  terbukti mementingkan agenda politik UMNO.  ”Transformasi” yang sering  dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas  merupakan janji-janji kosong,” ujarnya.
Dalam pada itu ,kumpulan mahasiswa akan  menggerakkan golongan itu secara besar-besaran daripada seluruh kampus  di Lembah Klang untuk berdemonstrasi terhadap UIAM yang menggantung  tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.
Pengerusi NGO Solidariti Mahasiswa  Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab berkata, dijangkakan hampir 1,500  mahasiswa dan anak muda akan hadir bagi “mempertahankan kebebasan  akademik”.
“Solidariti Mahasiswa Malaysia mengecam  sekeras-kerasnya tindakan Universiti Islam Antarabangsa menggantung  tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.
“Tindakan UIA adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’,” kata Syukri.
Lawyers For Liberty pula menyatakan  tindakan UIAM tersebut bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan yang  memberi kebebasan untuk bersuara dan menuntut kebebasan akademik  dipertahankan.
“Kami menuntut bahawa penggantungan ini   wajar ditarik balik serta-merta manakala menyeru SKMM tidak langkau  sempadan bidang kuasa. Kami juga menggesa pihak polis menghentikan  serta-merta mengganggu Prof Aziz Bari dengan penyiasatan di bawah zalim  Akta Hasutan,” katanya.
Perhimpunan itu dijadual berlangsung di masjid kampus UIA di Gombak selepas solat Jumaat.
Malahan protes ini semakin hebat melalui  laman media sosial apabila beberapa laman Facebook dibuka untuk  menyatakan bantahan tersebut.
Laman facebook “10,000 mahasiswa  menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari” dan “Kami Bantah  Penggantungan Dr. Aziz Bari” mencatat lebih 2,000 selepas beberapa jam  laman itu dibuka.