Thursday, March 31, 2011

Negeri Selangor capai pelaburan tertinggi, diikuti negeri Pulau Pinang - Kalau Sarawak ditadbir Pakatan Rakyat pun sama juga...

Selangor telah mencapai jumlah nilai pelaburan perindustrian yang tertinggi iaitu sebanyak RM29.3 billion bagi tempoh 2008 hingga 2010 berdasarkan data Malaysia Industrial Development Authority (Mida). "Ini merupakan nilai pelaburan yang tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri yang lain," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok Suh Sim.
Katanya, Selangor diikuti oleh Sarawak dengan jumlah nilai pelaburan perindustrian yang berjumlah RM27.6 billion dan Pulau Pinang dengan RM24.6 billion.
Beliau menambah, Selangor juga telah berjaya mencapai bilangan projek perindustrian tertinggi iaitu 905 projek dan bilangan peluang pekerjaan yang tertinggi dengan jumlah 80,000 berbanding dengan negeri-negeri lain bagi tempoh yang sama.
Menurutnya, empat negara pelabur asing yang utama di Selangor dalam tempoh tersebut ialah Amerika Syarikat dengan jumlah modal pelaburan RM4.7 billion, Jerman (RM3.5 billion), Japan (RM3.4 billion) dan Singapura (RM1.8 billion).
“Data Mida ini jelas menunjukkan bahawa tohmahan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak bahawa pelaburan di Selangor telah jatuh semenjak kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor adalah tidak berasas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Kesimpulannya, tegas beliau ekonomi Selangor masih lagi mantap di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan masih lagi merupakan destinasi pelaburan nombor satu bagi pelabur asing dan tempatan.

Monday, March 7, 2011

Teruskan perjuangan sehingga nyata benarnya janji RABBI .. Roslan SMS Corner


Sebagaimana diduga PAS tewas dalam dua pilihanraya kecil yang diadakan serentak iaitu Kerdau di Pahang dan Merlimau di Melaka. Dan sebagaimana jangkaan juga majoriti calon BN dikedua-dua kerusi ini bertambah berbanding dengan PRU yang lalu.
Memang kalau mahu dikaji punca kekalahan berganda PAS ini maka berbagai analisa dapat dibuat. Apapun PAS dan Pakatan Rakyat berhadapan dengan jentera BN yang tersusun lengkap dengan bekalan wang ringgit yang teguh tidak tertanding oleh PAS walau ditahap 10 peratus. Barang diingat juga kedua-dua kerusi ini memang merupakan kubu BN dan PAS tidak ada sejarah pernah memenangi kerusi berkenaan.
Membaca komen yang diberikan oleh laman web dan portal berita berbahasa Inggeris, saya agak kurang bersetuju apabila ada yang mengulas bahawa kekalahan PAS ini adalah berpunca dari sikap parti berkenaan yang agresif mengenengahkan idea dan dasar Islam. Kononnya langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BI) mengambil tindakan terhadap premis yang menjual loteri “bigsweep” baru-baru ini menyumbang kepada kekalahan PAS.
Mereka ini mungkin baru mengenali PAS. PAS bukan baru lahir 2 atau 3 tahun lalu. PAS sebagai sebuah parti Islam telah wujud dan bertarung dalam gelanggang politik Negara sejak lebih 50 tahun lalu. Islam tidak pernah berubah sejak di bawa oleh Rasulullah saw. PAS sekadar menyambung mata rantai dari rantai perjuangan Islam yang panjang lebar itu.
PAS bawa Islamlah maka PAS menang dan berkuasa kembali di Kelantan pada tahun 1990 dan bertahan sehingga kini.
Kerana Islam lah maka PAS dapat menzahirkan kepimpinan yang telus, bersih dan bertaqwa. Samada calon PAS itu menjadi MB, atau EXCO atau ADUN pegangan Islam nya membezakan ia dengan pimpinan parti lain, kerana Islam lah mereka dihormati dan disegani.
Kalau mahu PAS ikut selera mereka yang kritikal ini lebih baik PAS gugur sahaja dasar perjuangan Islamnya itu. Jadi sebagaimana parti lain, kalau perlu peluk Islam kalau tidak campak sahaja ketepi.
Saya yakin selagi iltizam ahli dan pimpinan PAS kuat pada prinsip dan dasar perjuangannya yang telah berjaya dipertahankan berdekad-dekad lamanya itu, maka selama itulah Islam akan terus dijunjung dan disanjung. PAS mungkin tewas di Merlimau dan Kerdau, tapi takkanlah kerana kekalahan itu maka Islam mahu dipersalahkan?
Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi..............
Syabas para petugas PAS, syabas calon-calon PAS, walaupun kita tewas hari ini, ganjaran lebih besar menunggu kita di Akhirat nanti insyallah. Teruskan perjuangan, hingga nyata benarnya janji Rabbi. TAKBIR!

Thursday, March 3, 2011

ANWAR - 1ISRAEL DAN 1MALAYSIA ADALAH KEBETULAN!



Harakahdaily   
JASIN, 2 Mac: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan kepada pengundi PRK Dun Merlimau apabila mendedahkan salinan dokumen perjanjian antara Apco Worldwide dan kerajaan Israel yang ditandatangani pada 1991 yang merupakan bukti pertalian erat kedua-dua pihak.
Beliau turut membaca satu perenggan daripada perjanjian itu sebelum menyerahkan kepada jurugambar media tempatan yang berebut-rebut mahu merakam dokumen berkenaan.
"Tarikh dokumen ini bila? Tahun 1991. Apa berlaku pada 1999? Ehud Barrack (Perdana Menteri Israel) anjur kempen One Israel. Pada 2009 pula, (Datuk Seri) Najib (Razak) memperkenal Satu Malaysia.
"Pada 1999 juga, Ehud kemuka slogan ‘People First’, Najib pula ‘Rakyat Didahulukan’. Kemudian, Ehud buat klinik untuk rakyat Israel. Najib buat apa? Klinik Satu Malaysia.
"Ke-be-tu-lan," sindir Anwar dengan disambut sorakan kira-kira 3,000 hadiri yang memenuhi lokasi ceramah di Merlimau Pasir di sini, malam tadi.
Anwar pada Disember tahun lalu digantung dari menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan selepas mendedahkan persamaan slogan One Israel dan Satu Malaysia dengan mengaitkan peranan Apco, tanpa diberi peluang membela diri.
Turut digantung ialah Mohamed Azmin Ali (PKR Gombak) R Sivarasa (PKR Subang), dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).
Kerajaan Malaysia sebelum ini, walaupun menafikan slogan Satu Malaysia hasil ilham Apco, mengaku membayar RM70 juta kepada firma perunding antarabangsa yang didalangi pemimpin Israel-Zionis itu.
Antara pegawai kanan Apco ialah bekas Duta Israel ke Jerman, Shimon Stein yang berkhidmat dalam kerajaan Israel dan berperanan penting dalam pentadbiran dua bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dan Jimmy Carter, selain menjadi bekas ahli lembaga pengarah Yayasan Jerusalem.
Pegawai kanan lain ialah Itamar Rabinovich, bekas duta Israel ke AS dan Ketua Perunding Israel dengan kerajaan Syria ketika Yitzak Rabin masih menguasai kerajaan Israel.
Selain bukti itu, Anwar pada ceramah berkenaan turut membawa salinan dokumen laporan Global Financial Integrity (GFI) yang menunjukkan aliran keluar wang haram dari Malaysia sebanyak RM888 bilion (AS$291 bilion) dalam tempoh sembilan tahun sejak 2000.
Beliau berkata, jumlah itu menyamai wang yang dilarikan dua diktator iaitu bekas Presiden Tunisa, Zainal Abidien Ben Ali mahupun bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas diguling rakyat negara masing-masing.
Anwar juga kesal kerana Umno BN sehingga kini berdiam diri tanpa membuat sebarang siasatan, jauh sekali mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"Jika Pakatan Rakyat memerintah negara, kita akan menjalankan siasatan terperinci. Ini memalukan negara di mata dunia," katanya.
Laporan itu menunjukkan Malaysia berada di tangga kelima dari senarai panjang negara yang terlibat dalam pengaliran keluar wang secara salah seperti wang rasuah mahupun wang lari cukai.
Pada ceramah itu, Anwar turut mengulangi janji Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga petrol sehari selepas menawan Putrajaya.